Friday 21 August 2009

DEMI MENYAMBUNG HIDUP


Kita mencari nafkah dalam EXCEL, POWERPOINT, WORD dan sebagainya. Adik berbaju merah ini mencari nafkah dalam “ RECYCLE BIN “. Demi menyambung hidup dalam hidup dan kehidupan. Semoga ALLAH menjadikan kita manusia yang tahu BERSYUKUR.

Thursday 20 August 2009

DOA SEORANG AYAH


"MENDENGAR tangisan ayah pada waktu malam amat menyayat hatiku untuk dikenang. Mendengar batuknya yang bertalu-talu mengocak hening malam, sering menjadikan aku hiba. Betapa luhurnya hati seorang insan kerdil seperti ayahku, seorang ayah yang tidak pernah putus harap untuk berdoa, untuk mengadu dan untuk merintih kepada yang Maha Berkuasa. Doanya berterusan…. Agar dimakbulkan hasrat dan niat anaknya, diberi jalan dan redha-NYA agar menjadi insan yang berguna dan berjaya dalam apa yang dicita-citakan.

Ayah tidak sempat melihat kejayaanku. Namun, doa seorang ayah tetap menjadi kenyataan dan alhamdulillah… susah payah pengorbanan seorang ayah akhirnya dimakbulkan oleh ALLAH jua. Itulah takdir hidup. Yang menanam pohon durian, tidak semestinya dapat melihat pohon itu berbuah. Yang penting…. Usaha berterusan perlu ada. Keikhlasan berdoa jangan padam.

Yakinlah…. ALLAH Maha Mendengar dan Maha Mengetahui akan rintihan hamba-NYA."



( Petikan bicara; Prof. Dr. Sidek Baba (2007), SETEGUH TEKAD – Kembara hidup penuh liku seorang ilmuan berjiwa besar. ALAF 21 SDN BHD. Shah Alam, Selangor)

Wednesday 19 August 2009

KEKAYAAN MASYARAKAT



Kekayaan sesebuah masyarakat tidak mungkin diukur dengan kuantiti “Objek-objek” yang dimilikinya. Sebaliknya, ia sepatutnya diukur dari segi “Idea” yang ada padanya.

Sebuah masyarakat mungkin ditimpa kesusahan dan kesulitan seperti banjir atau peperangan yang mungkin memusnahkan kesemua UNSUR OBJEK KEBENDAANNYA, atau menjadikannya hilang penguasaan ke atasnya.

Malapetaka itu menjadi lebih memusnahkan lagi sekiranya masyarakat itu kehilangan penguasaan ke atas UNSUR IDEANYA juga. Walau bagaimanapun, jika ia berjaya menyelamatkan IDEANYA, ia sebenarnya sudah menyelamatkan semua benda kerana dengan itu ia mampu untuk membina semula UNSUR OBJEK KEBENDAANNYA.



( Petikan bicara; Malik Bennabi (2007), ASAL USUL MASYARAKAT MANUSIA : Rangkaian Hubungan Sosial. ITNMB, Kuala Lumpur )

Monday 29 June 2009

DIDENGAR, DILIHAT DAN DIRASAI............


Beberapa minggu lepas, ketika menaiki motor, saya ternampak seorang pakcik menjual MADU LEBAH. Peristiwa seperti ini bukanlah asing bagi saya dan tentu juga ramai di kalangan saudara-saudari mempunyai pengalaman yang sama. Keadaan yang biasa saya temui ialah dia membawa beberapa botol berisi madu lebah dalam BEG yang digalas di bahu. Selain itu, biasanya dia membawa satu baldi yang sederhana besarnya. Biasanya ia digunakan untuk membawa SARANG MADU LEBAH.

Dalam perjalanan tersebut, menyelinap satu andaian pada fikiran saya, “mungkin suatu ketika dahulu PENJUAL madu lebah tidak membawa bersama SARANG MADU LEBAH”. Ini kerana orang akan MUDAH PERCAYA dengan apa yang DIPERKATAKAN tentang madu lebah yang dijual itu. Tapi pada hari ini, PENJUAL tersebut terpaksa membawa SARANG MADU LEBAH walaupun ia BUKAN BAHAN YANG DIJUAL. Mungkin dia merasakan orang sudah MULA TIDAK PERCAYA dengan apa yang DIPERKATAKAN. Sebaliknya penjual itu tahu orang akan LEBIH PERCAYA dengan apa yang DILIHAT berbanding apa yang DIDENGAR. Lalu di usunglah bersama sarang madu lebah sebagai BUKTI tentang KEASLIAN madu lebah yang dijual.

Ini bermakna, penjual tersebut menggunakan DUA KAEDAH untuk MEYAKINKAN pelanggan. Kaedah tersebut ialah “ MEMPERDENGARKAN dan MEMPERLIHATKAN “. Kalau saudara-saudari sebagai pelanggan, adakah anda YAKIN dan PERCAYA dengan apa yang DIPERKATAKAN dan DIPERLIHATKAN ? kalau saya, pastinya hanya pada peringkat awal dan selepas itu tidak lagi YAKIN dan PERCAYA dengan apa yang diperkatakan dan diperlihatkan. Kalau ramai pelanggan melalui pengalaman yang sama, mungkin PENJUAL madu lebah itu tidak lagi memperolehi keuntungan yang lumayan. Kenapa ?? Berbanding DIDENGAR dan DILIHAT, orang akan LEBIH YAKIN DAN PERCAYA dengan apa yang “DIRASA”. Usunglah SARANG MADU LEBAH seberapa banyak, selagi pelanggan tidak MERASAI keasliannya, mereka tetap tidak akan percaya dengan apa yang DIPERKATAKAN dan DIPERLIHATKAN.

Ini kisah “penjual madu lebah” berhadapan dengan pelanggannya. Bagaimana kisah kita berhadapan dengan orang-orang yang berada di sekeliling kehidupan kita. YAKIN dan PERCAYAKAH mereka dengan setiap apa yang kita PERKATAKAN ? YAKIN dan PERCAYAKAH mereka dengan setiap apa yang kita PERLIHATKAN ? Akhirnya KEYAKINAN dan KEPERCAYAAN mereka terhadap kita lebih banyak bergantung kepada apa yang mereka “RASA TENTANG KITA”. Oleh itu, biarlah yang DIKATA sama dengan yang DITUNJUK dan bertepatan dengan yang DIRASA. Insya Allah ANDALAH orang yang boleh DIYAKINI dan DIPERCAYAI oleh orang-orang disekeliling kehidupan anda. LAKUKANLAH SEIKHLASNYA DAN NYATAKANLAH SEJUJURNYA.

Thursday 7 May 2009

MENCARI BENDA HIDUP


1. AKTIVITI

Slot dimulakan dengan bacaan Al-fatihah. Peserta seramai 8 orang yang kebanyakannya adalah kakitangan hospital, seorang kakitangan RTM Sabah dan saeorang lagi kakitangan KPDNHEP serta Kolej Matrikulasi Labuan. Sesi petang ini dimulakan dengan sedikit ice breaking ringan/mudah agar sesi berjalan dalam situasi santai dan ceria. Aktiviti pengisian dimulakan dengan meminta setiap rakan peserta MENCARI DAN MENANGKAP BENDA HIDUP sama ada dalam bilik perbincangan atau di luar bilik perbincangan. Masa 2 minit diberikan untuk tugasan ini.

2. PERBINCANGAN

Setelah masa yang diberikan tamat, semua rakan peserta kembali duduk dalam bulatan dengan membawa benda hidup masing-masing. Kebanyakannya memilih untuk mengambil SERANGGA dan TUMBUHAN sebagai benda hidup. Seorang dua daripada mereka mengambil KAWAN di sebelah sebagai benda hidup.

Tahniah atas usaha dan komitmen kalian. Mari kita kenal pasti PENGKELASAN benda hidup. Biasanya ia terbahagi kepada tiga iaitu TUMBUHAN, HAIWAN dan MANUSIA. Kelihatan rakan peserta sudah mula tersenyum sipu terutama yang mengambil TUMBUHAN dan SERANGGA. Rakan yang memgambil kawan di sebelah sebagai benda hidup nampak sedikit ceria seolah-olah menepati keperluan aktiviti ini.

Perbincangan diteruskan. Saya percaya rakan peserta yang mengambil KAWAN di sebelah sebagai benda hidup menyedari dia adalah tergolong sebagai benda hidup. Kalau demikian perkiraannya, lebih baik menangkap DIRI SENDIRI kerana DIRI itu adalah juga benda hidup sebagai mana KAWAN di sebelah. Tidak apa, bukan saudara-saudari sahaja yang berbuat demikian. Kebanyakan rakan peserta yang lepas membuat perkara yang sama. Agaknya kenapa ? banyak pandangan yang diberikan. Dalam situasi bergurau, saya nyatakan bahawa agaknya kita mungkin lupa bahawa kita ini HIDUP.

Dalam perbincangan selanjutnya, saya PADANKAN dua perkataan iaitu HIDUP DAN MANUSIA dengan maksud bahawa kita ini adalah MANUSIA YANG HIDUP. Bila dinyatakan bahawa manusia itu hidup, bererti DITUNTUT ke atasnya pelbagai TANGGUNGJAWAB. Secara ringkasnya, tuntutan tanggungjawab itu TERHALA kepada 3 kelompok utama iaitu tanggungjawab terhadap ALAM (flora/fauna) SESAMA MANUSIA dan pada PENCIPTA.

PENCIPTA telah melaksanakan TANGGUNGJAWAB sepenuhnya terhadap manusia dan ALAM sedang BERFUNGSI pada landasannya. Jadi tidak perlu lagi kita menuntut sebarang HAK daripada ALAM dan PENCIPTA. Sebaliknya, menjadi TANGGUNGJAWAB kita untuk menunaikan HAK alam dan Pencipta terhadap kita.

BAGAIMANA PULA TANGGUNGJAWAB SESAMA MANUSIA ? seringkali situasi ini berada dalam hubungan yang TIDAK SEIMBANG. Kenapa ya ? mungkin disebabkan manusia lebih CENDERUNG menuntut HAK daripada menunaikan TANGGUNGJAWAB. Rasanya, jika kita masing-masing menunaikan TANGGUNGJAWAB, maka HAK itu mungkin datang dengan mudah kepada kita. Oleh itu, sebagai MANUSIA HIDUP, TANGGUNGJAWAB adalah lebih dekat dengan kita berbanding HAK. Jadi sama-samalah kita melaksanakan TANGGUNGJAWAB terhadap ALAM, PENCIPTA dan sesama MANUSIA.

3. ULASAN

Daripada aktiviti ini, tiada seorang pun yang mengambil dirinya sebagai benda hidup kerana mungkin kita LUPA bahawa kita ini HIDUP. MUNGKIN JUGA INI JAWAPAN KEPADA “KENAPA KITA SERING LUPA TENTANG TANGGUNGJAWAB SEBAGAI MANUSIA HIDUP”. Bagaimana supaya kita ini sentiasa INGAT bahawa kita ini HIDUP ? Perumpamaan menyatakan “Hanya si BUTA yang tahu nilai PENGLIHATAN, si PEKAK tahu nilai PENDENGARAN dan si MISKIN tahu nilai WANG”. Jadi, NILAI KEHIDUPAN mungkin dapat dirasai dengan menyedari bahawa kita ini akan MATI. Oleh itu, BERUSAHALAH kita untuk MELUNASKAN TANGGUNGJAWAB SEMAKSIMA mungkin kerana jika kita tahu bahawa kita ini HIDUP, maka kita KENA TAHU juga bahawa kita ini akan MATI. MANFAATKANLAH HAYAT YANG ADA SELAGI MAUT BELUM MENJEMPUT KITA.



( NOTA : Mohon maaf kepada rakan kelompok perbincangan aktiviti ini, ada sedikit pengubahsuaian daripada perbincangan asal. Bagaimana pun idea utama adalah ilham daripada perbincangan tersebut. Terima kasih atas percambahan ilmu dengan kalian. Semoga berjaya )

Tuesday 5 May 2009

TUJUH JANUARI DUA RIBU LIMA


Adakah saudara-saudari punya catatan sejarah atau peristiwa pada 07 JANUARI 2005 ? saya percaya ramai manusia yang punya peristiwa penting pada tarikh itu. 07 JANUARI 2005 merupakan tarikh yang punya sejarah penting antara saya, isteri dan anak-anak. Pagi 07 JANUARI 2005, saya dan isteri KALI PERTAMA menaiki kereta AMBULANCE dari Semporna ke Tawau. Saya tahu ramai yang pernah menaiki kereta ini dan ianya bukan satu yang perlu dibanggakan. Sekadar ingin berkongsi satu PENGALAMAN KEHIDUPAN.

Gambar di atas adalah anak saya yang kedua. Namanya NURNIZA MAIZATUL dan kini berusia 4 tahun lebih. Dia merupakan watak utama dalam peristiwa yang berlaku pada 07 JANUARI 2005 iaitu HARI KELAHIRANNYA. Semua anak saya dan anak saudara-saudari punya TARIKH KELAHIRAN. Namun, suka saya nukilkan pengalaman ini kerana anak saya yang lahir pada 07 JANUARI 2005 ini baru berusia HAMPIR 7 BULAN dalam kandungan ibunya.

Pagi 07 JANUARI 2005, jumaat, seperti yang dimaklumkan oleh pihak Hospital Semporna, isteri saya perlu dihantar ke Hospital Besar Tawau untuk rawatan segera kerana mengalami sedikit pendarahan. Sepanjang perjalanan, saya hanya terfikir soal apa jadi dengan isteri dan bagaimana dengan keadaan anak sulung saya yang tinggal dengan Makciknya. Sayu dan sebak makin terasa bila siren kereta dibunyikan. Segalanya terserah pada kuasa Ilahi.

Setiba di Hospital Besar Tawau, isteri saya terus dimasukkan ke BILIK BERSALIN KRITIKAL. Selang beberapa minit, seorang Jururawat memaklumkan bahawa isteri saya BERSALIN pada hari itu juga. Terpegun saya mendengarnya. Walaupun kemungkinan itu pernah diluahkan oleh isteri, namun masih belum bersedia menerima hakikatnya. MANUSIA MERANCANG ALLAH MENENTUKAN, anak kedua saya telah ditentukan lahir pada hari itu, 07 JANUARI 2005, JUMAAT, JAM 1.12 PETANG dengan berat 1.25 KG sebagai kelahiran PRAMATANG.

Seperti mana biasa, bayi yang lahir tidak cukup bulan dan berat di bawah 2 KG akan dimasukkan dalam INKUBATER untuk satu tempoh tertentu. Lima minggu isteri dan anak saya menjadi penghuni tetap Hospital Besar Tawau di wad Penjagaan Khas Bayi. Saya pula menjadi PELAWAT tetap dalam tempoh tersebut. Ada ketikanya ditegur oleh pengawal atau kakitangan hospital kerana seringkali melebihi masa lawatan atau dating awal daripada waktu melawat.

Episod ini merupakan satu pengalaman yang sukar untuk dilupakan. InsyaAllah, ada masa nanti akan saya kongsikan pengalaman ini. Apa pun keadaanya, saya tetap bersyukur pada Ilahi atas segala nikmat yang diberikan. Ini merupakan satu ILMU yang sangat berharga buat saya dan isteri untuk terus menempuh kehidupan mendatang yang serba mencabar.

Monday 27 April 2009

JADILAH


Kalau kau tak dapat menjadi pohon cemara
Di puncak bukit
Jadilah belukar di bawah lembah
Tetapi jadilah
Belukar terbaik di tepi sungai sempit
Jadilah belukar kalau tak dapat
Menjadi pohon

Kalau tak dapat menjadi
Belukar selengkar
Jadilah rumput sederet
Dan serikan sebatang jalan raya
Kalau tak dapat menjadi ikan temeluh
Jadilah seluang terlincah di tasik
Terbentang

Tidak semua boleh menjadi nakhoda
Sesetengah kita perlu berbaju kelasi
Namun tiap tubuh punya kerja
Tugas besar dan tugas kecil
Dan tugas segera adalah tugas yang terdekat
Kalau tak boleh menjadi jalan raya
Jadilah sekerat lorong

Kalau tak boleh menjadi matahari
Jadilah sebutir bintang
Besar bukan ukuran gagal jaya
Tetapi jadilah yang terbaik dalam segala

( Sajak oleh; Longfellow – Penyair Inggeris )

Saturday 25 April 2009

LAKUKAN SEIKHLASNYA NYATAKAN SEJUJURNYA


JUJUR dan IKHLAS, dua perkataan yang agak abstrak untuk di definasi secara operasi dalam perlakuan realiti. Lantas, saya tidak berminat dan berani untuk mendefinasikannya di sini. JUJUR dan IKHLAS hanya mampu saya ketengahkan dalam satu ungkapan “LAKUKAN SEIKHLASNYA NYATAKAN SEJUJURNYA”. Kalau pun ada ungkapan lain, saya hanya tukarkan menjadi “NYATAKAN SEIKLASNYA LAKUKAN SEJUJURNYA”.

JUJUR dan IKHLAS, dua perkataan ini seringkali digunakan untuk mewakilkan diri dalam beberapa situasi. Lalu timbullah ungkapan-ungkapan seperti “aku ikhlas ni”, “percayalah dengan kejujuranku”, “aku bagi dengan ikhlas”, “kita mestilah jujur”, “yang penting saya ikhlas” dan banyak lagi ungkapan yang seumpamanya. Apa yang saudara-saudari terfikir dengan ungkapan-ungkapan ini ? Benarkah seperti yang diungkapkan atau dilafazkan ? Ini membawa kita kepada MENILAI soal kejujuran dan keikhlasan seseorang.

Dalam mendengar dan menerima pengakuan diri seseorang tentang kejujuran dan keihlasannya, ada ketikanya kita mudah menerimanya dan ada ketikanya kita sukar untuk mempercayainya. Pastinya kita lebih banyak dipengaruhi oleh SIAPA ORANGNYA yang menyatakan pengakuan itu. Pengalaman KEBERSAMAAN dengan seseorang itu dapat membantu kita untuk menilai soal kejujuran dan keikhlasan yang dinyatakannya.

Perlukah KEJUJURAN dan KEIKHLASAN itu dinyatakan atau dilafazkan ? mungkin ianya bergantung kepada situasi. Ya, kekadang ada perlunya. Tapi menyatakan kejujuran dan keikhlasan secara berlebihan akhirnya mengundang KERAGUAN terhadap kejujuran dan keikhlasan yang dinyatakan. PERLUKAH ORANG TAHU KITA INI JUJUR DAN IKHLAS ? Dan, APA PERLUNYA orang tahu kita ini jujur dan ikhlas ? YA, mungkin ada keperluannya. TAPI IKHLAS DAN JUJURKAH KITA JIKA KEJUJURAN DAN KEIKHLASAN ITU PERLU DIHEBAHKAN ?

Untuk semua persoalan di atas, terserah pada diri kita masing-masing untuk MENILAI, MENGUKUR dan MENGURUS KEIKHLASAN DAN KEJUJURAN DIRI SENDIRI. Yang penting kita benar-benar JUJUR dan IKHLAS dalam setiap tindakan yang dilakukan. Biarlah ALLAH yang menilainya dan MANUSIA menerima khidmatnya. “LAKUKAN SEIKHLASNYA NYATAKAN SEJUJURNYA”

Wednesday 8 April 2009

HUJUNG ADALAH PANGKAL


Di hujung KEGAGALAN adalah pangkal KEJAYAAN dan di hujung KEJAYAAN adalah pangkal KEGAGALAN.

Di hujung KEMISKINAN adalah pangkal KEKAYAAN dan di hujung KEKAYAAN adalah pangkal KEMISKINAN.

Di hujung KESUSAHAN adalah pangkal KESENANGAN dan di hujung KESENANGAN adalah pangkal KESUSAHAN

Di hujung PENDERITAAN adalah pangkal KEBAHAGIAAN dan di hujung KEBAHAGIAAN adalah pangkal PENDERITAAN

Di hujung KEDUKAAN adalah pangkal KESUKAAN dan di hujung KESUKAAN adalah pangkal KEDUKAAN

Di hujung KEHINAAN adalah pangkal KEMULIAAN dan di hujung KEMULIAAN adalah pangkal KEHINAAN

Di hujung PERTEMUAN adalah pangkal PERPISAHAN dan di hujung PERPISAHAN adalah pangkal PERTEMUAN

Di hujung KELEMAHAN adalah pangkal KEKUATAN dan di hujung KEKUATAN adalah pangkal KELEMAHAN

Di hujung KEBURUKAN adalah pangkal KEBAIKAN dan di hujung KEBAIKAN adalah pangkal KEBURUKAN

Di hujung PENGAKHIRAN adalah pangkal PERMULAAN dan di hujung PERMULAAN adalah pangkal PENGAKHIRAN


Dannnnnn………………….
Dannnnnn………………….

Di hujung KEHIDUPAN adalah pangkal KEMATIAN dan di hujung KEMATIAN adalah pangkal KEHIDUPAN ABADI !!!

Wallahualam.

Monday 6 April 2009

Sunday 5 April 2009

ANUGERAH ILAHI


Ini adalah anak saya yang keempat. Bukan untuk tujuan promosi. Sekadar ingin berkongsi pengalaman dengan saudara-saudari. Namanya AHMAD FAIZ, lahir pada 14 NOVEMBER 2008. sebaik sahaja selesai diuruskan oleh BIDAN/JURURAWAT yang menyambut kelahirannya, ia diserahkan pada saya. Dengan penuh PENGHAYATAN dan PENGHARAPAN, saya bacakan AZAN dan IQAMAH di telinganya. Sebagaimana anak-anak yang lain, saya mengharapkan dia menjadi anak yang SOLEH dan berjaya DUNIA AKHIRAT.

Setelah selesai membacakan azan dan iqamah, saya renung sejenak ANAK yang berada di dakapan saya. ADUH! Bertapa BESAR ANUGERAH yang ALLAH berikan pada saya. Satu lagi NYAWA dan JASAD manusia di AMANAHKAN pada saya. Walaupun ia mengundang tanggungjawab yang bertambah besar, namun keseronokan dan kebahagiaan bersama mereka cukup INDAH.

Disebalik semua itu, kekadang timbul rasa kerisauan. JADI APA ANAK-ANAKKU INI BILA DEWASA ? YA ALLAH, BERILAH PETUNJUK DAN HIDAYAHMU DALAM MENHADAPI HIDUP YANG SERBA MENCABAR INI. AMIN YARABBAL ALAMIN.

Friday 3 April 2009

PERUBAH




“Anda mungkin tidak mampu merubah dunia. Tetapi kalau anda dapat merubah dunia anda, bermakna anda telah melaksanakan langkah penting untuk merubah dunia ! dan jika anda merubah dunia anda ke arah kebaikan bermakna anda telah meletakkan diri dalam kedudukan yang sempurna untuk merubah dunia persekitaran anda. Apakah yang dikatakan dunia anda itu ? itulah dia dunia jiwa dan minda anda”.

( Petikan bicara; Dr. Amin Senin (1997), Pembinaan Kualiti Diri: Model Dan Strategi, Aras Mega Sdn. Bhd. Selangor.)

Thursday 2 April 2009

USIA DAN NOMBOR


Berapa tahun sudah USIA saudara-saudari ? Saya sudah lebih 30 tahun dan hampir kepada 40 tahun. Menanti dan menghampiri usia 40 tahun ini semacam timbul perasaan berbaur antara risau, takut, bangga dan gembira serta macam-macam lagi. Tapi tidaklah sampai mengganggu rutin harian kerana ia tidak jauh beza dengan nombor-nombor lain dalam usia kita.

Saya suka kongsikan perasaan dan pengalaman ini, kerana situasi yang sama pernah saya ALAMI ketika USIA saya genap 20 TAHUN. Lantas, saya MERAMALKAN pengalaman dan perasaan yang sama akan berulang bila usia menjangkau 60 TAHUN. Mungkin usia 80 dan 100 tahun pula tidak sama dari segi pengalaman dan perasaan kerana sudah berada pada ZON NYANYUK ( wallahualam ).

Perasaan ini mungkin timbul kerana usia 20 tahun adalah permulaan REMAJA dan 40 tahun permulaan DEWASA. 60 tahun pula adalah usia TUA dan seterusnya. Apa pun, itu sekadar perasaan dan pengalaman yang saya lalui. ADAKAH SAMA ATAU BERBEZA DENGAN SAUDARA-SAUDARI ?

Direnung difikir, memerhatikan perjalanan usia antara satu nombor kepada satu nombor tidak jauh beza dengan melihat pergerakan JARUM JAM daripada satu waktu kepada waktu yang berikutnya. Kedua-duanya sama akan meniti pada setiap nombor yang dilalui melainkan HAYAT telah BERAKHIR. Bermakna, selepas usia 39 tahun, pasti usia 40 tahun akan menyusul selepas itu. Oleh itu, bersama perjalanan usia yang malar ini, ada baiknya kita turut menghitung soal BAIK dan BURUK perbuatan, SUKA dan DUKA kehidupan, GAGAL dan JAYANYA impian serta DOSA dan PAHALA. Sama-sama kita BERMUHASABAH. Wallahualam.

Tuesday 31 March 2009

GOTONG-ROYONG


Pagi ini ( 28 mac 2009 ) saya di amanahkan mengiring pelajar untuk program gotong-royong membersihkan sampah di persekitaran pekan Semporna. Ia melibatkan pelbagai jabatan, organisasi dan orang perseorangan. Sebelum aktiviti dimulakan, ada ucapan dan perasmian oleh Pengerusi Program.

Saya tidak dapat memetik secara detail ucapan tersebut. Cuma daripada pemahaman saya, soal sampah dan kekotoran sangat berkait rapat dengan soal SIKAP dan MENTALITI. Namun sesekali peserta melaungkan tentang SAMAN. Tapi Pengerusi tetap berbicara soal SIKAP. Saya setuju dengan ucapan Pengerusi.

Apa sahaja peraturan dan penguatkuasaan yang dibuat, ia akan berdepan dengan kesukaran selagi KSEDARAN DALAMAN itu tiada. Jadi usaha berubah dan mengubah SIKAP dan MENTALITI harus diambil perhatian. Saya percaya ia bukan suatu kerja MUDAH. Tidak apa, yang penting, “MULAKAN DENGAN DIRI KITA SENDIRI”.

Monday 30 March 2009

MESEJ DARI SHOPPING


Membeli baju di pusat membeli-belah. Sebagai amalan biasa, saya akan tengok corak dan warnanya, kemudian rasa dengan jari jenis kainnya. Selepas itu, baru saya tengok HARGANYA. Jika harganya di luar kemampuan, saya tinggalkan dan cari yang lain. Sebenarnya saya cuba mencari baju yang cantik corak dan warnanya, kualiti kainnya dan murah harganya.. Namun dalam kebanyakan kes, jika baju itu cantik corak dan warnanya serta kualiti kainnya, pasti harganya pun CANTIK ( kekadang ada juga kekecualiannya )

Oleh kerana peristiwa di atas seringkali berulang, akhirnya saya akur bahawa apa sahaja barangan yang berkualiti, harganya agak sedikit tinggi. Walaupun kita tidak suka dengan keadaan ini, tapi ia adalah BETUL dan BENAR dalam kebanyakan situasi. Maknanya, jika kita ingin mendapat kepuasan yang lebih, maka kita kena bayar lebih. Ini mungkin sedikit daripada kompenan HUKUM ALAM atau KEHIDUPAN. Oleh itu, janganlah selalu mengharap untuk mendapat kepuasan yang tinggi bagi NILAI RINGGIT yang RENDAH. Kalau tidak setuju dengan situasi ini, mungkin kita akan mengalami sedikit kerumitan semasa shopping.

Kita tukar situasi di atas kepada KEJAYAAN dan KESELESAAN hidup. Kalau kualiti datang bersama harga yang tinggi, bererti KEJAYAAN dan KESELESAAN hidup MESTI datang bersama USAHA. Kejayaan dan usaha punya hubungan langsung. Tinggi usaha, tinggilah kejayaan. Sebaliknya, rendah usaha, rendahlah kejayaan. Menyedari konsep “kunfayakun” amat rendah kemungkinannya untuk kita, maka kita tidak punya pilihan selain BERUSAHA untuk kejayaan dan hidup yang selesa.

Janganlah mengharapkan kejayaan yang BESAR untuk usaha yang KECIL sebagaimana megharapkan harga murah untuk barangan yang berkualiti. Walaupun ia punya kemungkinan untuk berlaku, namun ia lebih cenderung sebagai mimpi kosong. Orang BERUSAHA belum tentu berjaya, manakah mungkin orang yang TIDAK BERUSAHA pula yang berjaya. Agak sedikit MUSTAHIL.

Akhirnya saya rumuskan begini, laluan kejayaan dan keselesaan hidup itu Cuma SATU iaitu “BERUSAHA”. Maka MERANCANG dan BERTINDAK merupakan pengisian kepada USAHA untuk mencapai KEJAYAAN dan KESELESAAN HIDUP. Ayuh! Kita mulakan hari ini.

Friday 27 March 2009

KESIBUKAN YANG MENYERONOKKAN




Lawan bagi “kesibukan” ialah “tidak sibuk”. Mungkin dalam bahasa yang lebih mudah ialah “Rehat”. Jadi, antara REHAT dan SIBUK, mana satu yang sesuai dipilih? Sebagai manusia normal, saya pilih rehat. Kalau saya tambahkan ungkapannya dengan, “ KESIBUKAN YANG MENYERONOKKAN DAN REHAT YANG MENYUSAHKAN, mana satu pilihan baik.

Dalam konteks di atas, saya pilih kesibukan kerana ia datang bersama keseronokan. Apatah lagi jika keseronokan itu memenuhi tuntutan syarak. Sebenarnya selagi BERNAFAS, kita harus pilih sibuk dan menyibukkan diri tapi biarlah ia menyeronokkan dan bermanfaat. Memilih rehat atau “Parking” sebenarnya menjanjikan masa depan yang kelam yang akhirnya menyibukkan tubuh dan minda suatu hari nanti.

Apa maksud saya dengan kesibukan yang menyeronokkan ? kita sibuk dengan kerja-kerja harian sebagai ayah dan suami, sebagai penjawat awam dan sebagai manusia yang hidup bermasyarakat. Ini semua adalah tanggungjawab harian yang merupakan pelaburan masa depan. Oleh itu, usahlah mengeluh dengan kesibukan yang seperti ini. Sebaliknya ia suatu yang amat meyeronokkan kerana kesibukan itu KENA PADA TEMPATNYA daripada rehat yang tidak menjanjikan apa-apa.

Sama-samalah bertanya pada diri, APAKAH KITA BERADA PADA KESIBUKAN YANG MENYERONOKKAN DAN BERMANFAAT ATAU KITA SIBUK DENGAN PERKARA YANG TIDAK SEPATUTNYA. Fikir dan renung sejenak.

Wednesday 25 March 2009

PENGENALAN DIRI / SELF INTRO







1. AKTIVITI

Slot dimulakan dengan bacaan Al-fatihah. Peserta seramai 7 orang yang terdiri daripada kakitangan hospital, guru dan seorang kakitangan imagrisen. Sesi seperti ini adalah pengalaman pertama bagi semua rakan peserta. Setelah sedikit ice breaking dilakukan, saya teruskan sesi dengan menjelaskan tentang aktiviti perbincangan yang akan dijalankan. Bagi manfaat bersama, saya ketengahkan juga ETIKA-ETIKA perbincangan agar hasil yang diperolehi memberi pulangan yang bermakna untuk semua.

Untuk memulakan aktiviti, saya memperkenalkan diri ( nama, asal dan pekerjaan ) dan diikuti dengan rakan peserta untuk item yang sama. Pada pusingan kedua, saya sekali lagi memperkenalkan diri kepada rakan peserta. Kali ini mereka diberi peluang seluas-luasnya mengemukakan pertanyaan tentang latarbelakang atau apa sahaja yang dirasakan perlu untuk ditanya. Selesai giliran saya, semua rakan peserta melalui proses yang sama secara bergilir-gilir.

2. PERBINCANGAN

Setelah semuanya mengambil bahagian, saya meminta respon rakan peserta tentang PERASAAN mereka setelah melalui sesi PENGENALAN DIRI. Antara jawapan yang diberikan ialah timbulnya rasa selesa berada dalam kumpulan kerana semakin wujud rasa kemesraan, keyakinan, kekitaan dan mulai saling memahami antara satu sama lain. Mereka mengakui perbezaan amat jelas antara sebelum melalui dan sesudah melalui aktiviti Pengenalan Diri. Rakan-rakan mengakui juga bahawa semakin tinggi darjah perkenalan dengan orang lain, semakin tinggi darjah kemesraan dan keyakinan diantaranya.

Dalam perbincangan ini, saya ketengahkan contoh tentang seorang anak yang cukup rasa selesa dan selamat bersama ibubapanya kerana darjah mengenali antara mereka amat tinggi. Demikian juga dengan perasaan seorang ISTERI yang amat selesa dan selamat bersama suami ( walau pun suami itu penakut ) kerana amat memahami dan mengenali antara mereka.

3. ULASAN

Dengan respon dan hujah yang diberikan oleh rakan peserta, saya menggunakan ‘Tingkap Johari’ untuk membuat sedikit ulasan. Tingkap Johari terbahagi kepada 4 bahagian. Bahagian pertama dikenali sebagai “aku tahu dan kamu tahu”. Bahagian kedua, “aku tahu tapi kamu tidak tahu”. Bahagian ketiga ialah “aku tidak tahu tapi kamu tahu”. Bahagian keempat “aku tidak tahu dan kamu tidak tahu”. Soal “tahu” dan “tidak tahu” adalah merujuk kepada latarbelakang peserta masing-masing dalam kumpulan.

Bahagian pertama adalah berkaitan dengan perkara luaran seperti warna baju yang dipakai, warna kulit, tahi lalat di muka, cincin di jari dan sebagainya. Bahagian kedua pula berkaitan dengan latarbelakang peribadi seperti bilangan adik-beradik, sudah kahwin atau belum, berapa anak dan isteri serta namanya, berasal dari mana, makanan kegemaran, hobi dan sebagainya. Bahagian ketiga lebih banyak menjurus kepada soal sikap dan perwatakan seperti penyabar, sombong, jujur, tolak ansur, pemarah dan sebagainya. Akhir sekali bahagian keempat. Ia meliputi soal jodoh dan perkahwinan, ajal dan maut dan sebagainya.

Dalam proses pengenalan diri, bahagian pertama, kedua dan ketiga akan semakin membesar. Pada tahap maksima dan ideal, bahagian kedua dan ketiga akan menjadi bahagian pertama semuanya ( aku tahu dan kamu tahu ). Ini bergantung kepada darjah saling mengenali dan komunikasi antara mereka. Serentak dengan itu juga, bahagian keempat akan semakin mengecil iaitu hanya soal jodoh dan mati ( hanya tuhan yang tahu ). Proses daripada “tidak tahu” kepada “tahu” itu mungkin berlaku secara sedar atau tidak sedar dan langsung atau tidak langsung. Ia lebih mudah berlaku melalui penaakulan REFLEKTIF dan BANDING BEZA di kalangan kita ( peserta )

Secara keseluruhannya, proses PENGENALAN DIRI itu seterusnya perlu diaplikasikan ke DALAM DIRI secara individu. Saya gariskan TIGA TAHAP pengenalan diri yang membawa kepada MENGENALI DIRI masing-masing. Tahap pertama adalah proses mengenali diri secara LUARAN atau FIZIKAL. Tahap kedua pula ialah proses mengenali diri dari segi AKHLAK dan SIKAP. Tahap ketiga adalah proses muhasabah diri untuk mengenali POTENSI dan KELEMAHAN DIRI.

Melalui tiga tahap ini, mungkin akan menjadikan kita insan yang tahu bersyukur terhadap nikmat PENCIPTA serta menjaga dan menghargai kesihatan yang ada. Mengenali baik buruk akhlak dan sikap diri, mungkin memudahkan kita mencari dan mengambil POSISI yang sesuai dalam pelbagai situasi. Dengan mengenali potensi dan kelemahan diri pula, mungkin kitalah “MANUSIA” yang sentiasa SUKSES dalam apa jua lapangan yang diceburi. InsyaAllah….


( NOTA : Mohon maaf kepada rakan kelompok perbincangan aktiviti ini, ada sedikit pengubahsuaian daripada perbincangan asal. Bagaimana pun idea utama adalah ilham daripada perbincangan tersebut. Terima kasih atas percambahan ilmu dengan kalian. Semoga berjaya )

Sunday 22 March 2009

DEMI HIDUP DAN KEHIDUPAN


Pertamanya saya ucapkan terima kasih pada SIFU kerana memberikan gambar di atas. Paling terima kasih lagi kerana memberikan kata-kata nasihat dan semangat yang cukup bermakna.

Melihat imej di atas, mungkin akan timbul pelbagai persepsi dan pandangan di kalangan kita. Bagi saya secara peribadi gambar ini menyentuh sedikit emosi. Ia membawa makna dan tafsiran yang cukup mendalam tentang hidup dan kehidupan. Gambar ini adalah realiti kehidupan yang berlaku di Vietnam.

Melihat saiz sampan yang bukan sampan dan tangan kiri yang kudung itu membangkit rasa insaf dan simpati yang amat mendalam. Lalu saya rasakan pemuda ini punya kemungkinan tinggi untuk karam. Persoalannya, dengan tangan kiri yang kudung itu, bolehkah dia berenang ? Mungkin pemuda itu akan jawab " Ini bukan persoalan karam, kudung atau boleh berenang, ini adalah persoalan hidup dan kehidupan yang harus diteruskan ".

Persoalan-persoalan yang perlu kita renungkan......... sanggupkah kita berada dalam situasi seperti ini ? kalau pun berada dalam situasi ini, bolehkah kita melakukan seperti pemuda ini ? terserah pada diri kita masing-masing.

Friday 6 March 2009

MELAKAR POTRET IBU



1. AKTIVITI

Peserta terdiri daripada pelajar tingkatan 3 dengan bilangan seramai 11 orang. Aktiviti dimulakan dengan sedikit Ice Breaking. Setiap peserta diberikan sehelai kertas A4 yang kosong. Saya bertanya kepada peserta, adakah ibu mereka masih hidup buat masa ini ? Alhamdulillah, semuanya masih berada di alam nyata. Peserta diminta duduk berasingan dalam bilik perbincangan. Saya memberikan arahan agar semua peserta melakar potret ibu masing-masing pada sehelai kertas putih yang diberikan. Saya juga meminta agar mereka membuat lakaran tercantik dan sebaik-baiknya menyerupai wajah sebenar ibu mereka. Aktiviti ini di pilih setelah mendapat maklumat daripada penyelaras tentang latarbelakang peserta yang sedikit bermasalah disiplin. Semasa peserta melaksanakan tugasan ini, saya memerhati secara on-off agar karektor sebenar peserta terpamer semasa mengikuti aktiviti ini.

2. PERBINCANGAN

Aktiviti melakar potret ibu bukanlah satu-satunya aktiviti yang mujarab untuk menangani pelajar yang bermasalah disiplin. Saya memilihnya atas pandangan dan cadangan rakan. Lalu saya merasakan sesuai atas perkiraan kedudukan seorang ibu yang cukup tinggi di hati seorang anak. Semasa aktiviti berlangsung, beberapa situasi dan tingkahlaku peserta yang agak mengecewakan dan sedikit menimbulkan rasa sakit hati. Ada di antara mereka yang melakar sambil lewa sehingga sekali-sekala tertidur. Sementara dua tiga orang peserta sambil bergelak-ketawa serta sekali-sekala mengganggu rakan yang lain. 10 daripada 11 orang peserta membuat lakaran ala kadar dan sengaja melakar rupa paras seorang ibu yang tidak sepatutnya. Mereka sedikit pun tidak rasa tersentuh dengan aktiviti ini.

Setelah masa yang diberikan mencukupi, saya kutip semua lakaran yang mereka buat lalu saya paparkan satu demi satu kepada mereka sambil bertanya, adakah ini menghampiri rupa paras ibu mereka ? sebagaimana yang saya ramalkan, sudah tentu tidak dan jauh dari rupa paras yang sebenar. Malah ada lagi yang menambah lakaran yang bukan-bukan. Oleh kerana masa yang semakin suntuk, saya tidak sempat menanjangkan perbincangan dengan mereka. Dengan tindakan spontan dan muka serius, saya renyuk dan koyakkan semua lakaran itu dihadapan mereka sambil melontarkan persoalan, “inikah balasan yang ditunjukkan oleh seorang anak pada ibunya ? peserta terpegun melihat tindakan spontan dan nampak seolah-olah mara. Situasi seperti ini sengaja diwujudkan memandangkan ini adalah slot terakhir bersama mereka dan setelah pendekatan lembut dan membelai tidak memberi kesan kepada mereka.

IBU adalah insan yang teramat mulia dalam hidup seorang anak. Bermula dengan tanggungjawab “mengandung” kita selama sembilan bulan sehinggalah kepada kepayahan dan kesengsaraan melahirkan kita. Tidak cukup dengan itu, pada usia bayi dan ibu masih dalam pantang, kepayahan masih dirasai dengan kekadang berjaga malam demi menjaga anak agar membesar dengan baik dan sihat. Akhirnya adik-adik peserta berada pada usia kini. Dalam pada itu, tanggungjawab memberi kasih sayang, pakaian dan makan minum tetap ditunaikan walaupun cabaran mencari nafkah di lapangan hidup amat memcabar. Saya berkongsi pengalaman ini bersama adik-adik kerana saya semakin faham dan lebih mengerti setelah bergelar ayah. Yakinlah adik-adik, tiada tolok bandingnya nilai seorang anak pada ibu dan ayah. Tapi mengapa sering kali anak memberikan balasan yang tidak setimpal terhadap jasa dan pengorbanan ibu dan ayah. Di mana kamu letak ibu dalam hidup kamu kalau sekadar melakar potretnya, kamu mempersendakanya. Ibu akan rasa terguris dan risau jika mendengar dan mengetahui tentang masalah anaknya. Tapi bagaimana dengan kita ? sedikit pun adik-adik tidak rasa bersalah dan tersentuh dengan mempersendakan lakaran potret ibu. Layakkah kita digelar anak sedangkan kita mempersendakannya ? mungkin adik-adik tidak dapat menilainya kerana insan itu masih berada di sisi kalian dan renungkan sendiri kiranya mereka telah menyahut panggilan ilahi !

3. ULASAN

Daripada reaksi adik-adik, saya melihat satu keinsafan dan kesedaran tentang jasa dan pengorbanan ibu dan ayah ( ada yang menitiskan air mata ). Saya harap dan doakan agar adik-adik sentiasa menghormati dan menghargai insan bergelar ibu. Mereka tidak mengharapkan balasan berupa wang ringgit dan harta benda. Ibu bapa hanya mengharapkan anak-anaknya berjaya dalam bidang akademik serta punya akhlak yang baik. Bagi mereka, hadiah yang paling berharga adalah anak yang soleh dan solehah sebagai kebanggaan di dunia dan bekal di akhirat. Adik-adik masih belum terlambat untuk mengubah segalanya. Ruang masih ada untuk adik-adik memperbaiki diri khususnya dalam bidang akademik dan sahsiah. Berilah peluang ibu dan ayah merasa bangga dan bahagia melihat kejayaan anda, senangkanlah hati mereka.

Adik-adik sekalian, aktiviti ini hanyalah satu simulasi kehidupan. Kesilapan yang adik-adik lakukan adalah pengajaran semata-mata. Pastinya kesilapan ini janganlah berlaku dalam realiti kehidupan anda. Sayangilah ibu, sayangilah ayah. Mohon maaf pada mereka serta cuimlah tangannya. Bertekadlah dalam diri untuk menjadi anak yang soleh dan solehah. Terokailah kesilapan dan kelemahan diri dan kikislah ia dari diri adik-adik. Betulkan niat adik-adik terhadap ibu dan ayah, insyaAllah kejayaan akan menjadi milik anda. Akhirul kalam, saya mohon maaf pada adik-adik jika terlanjur kata terkasar bahasa. Mungkin terpaksa dilakukan demi niat yang murni terhadap adik-adik. Semoga berjaya dalam peperiksaan dan menjadi anak yang soleh dan solehah.

Wednesday 25 February 2009

PERBEZAAN PERSONALITI DIRI

1. AKTIVITI

Dalam slot ini, para peserta ditunjukkan gambarajah bulatan, segitiga sama sisi, segiempat sama dan lakaran berbentuk ombak. Dengan bilangan peserta seramai 11 orang, mereka di minta memilih salah satu bentuk berasaskan pilihan masing-masing. Setelah mengenalpasti pilihan peserta, ternyata berlaku kepelbagaian pilihan di kalangan mereka. Untuk lebih jelas, setiap peserta di minta menjelaskan asas pilihan masing-masing dan secara umumnya pilihan itu lebih merujuk kepada soal prinsip dan sikap mereka. Ini jelas, setelah cuba diprovokasi untuk mengubah pilihan, mereka tidak berganjak kerana takut dikatakan tidak berpendirian. Antara yang dapat dinukilkan, segi empat itu dikaitkan dengan keteguhan prinsip. Segi tiga pula dikaitkan dengan matlamat dan cita-cita yang jitu dan bentuk bulatan sebagai satu tekad yang bulat.

2. PERBINCANGAN

Setelah berlaku proses perkongsian pendapat dengan peserta, akhirnya saya menjelaskan bahawa bentuk-bentuk yang mereka pilih itu lebih merujuk kepada personaliti diri. Dari segi interpretasinya, individu yang memilih bentuk segi tiga adalah berwawasan, bercita-cita tinggi serta berusaha untuk mencapainya, rajin dan bersungguh-sungguh serta sanggup meninggalkan kawan demi mencapai cita-cita. Segi empat, adalah individu yang sangat logical, mengutamakan maklumat terperinci berbanding khabar angin, adil dan saksama, mengutamakan panduan dan peraturan, lebih objektif dan tidak emosional. Peserta yang memilih bentuk bulatan pula mempunyai personaliti mementingkan keharmonian, selesa bergaul dan mempunyai ramai kawan, mudah memahami perasaan orang dan mempunyai kemahiran intarpersonal. Bentuk ombak, individu yang mempunyai minat yang pelbagai, serba boleh dan fleksibel, tidak suka kepada rutin dan berjadual dan sebaliknya suka kepada kebebasan.

Berdasarkan interpretasi di atas, mungkin banyak persoalan atau keraguan tentang ketepatannya. Namun seperti yang dinyatakan kepada para peserta, dalam perbincangan ini, saya tidak berminat untuk memberi fokus yang mendalam berkaitan personaliti. Antara natijah yang saya ambil perhatian daripada aktiviti ini ialah kepelbagaian personaliti itu membawa kepada selera dan pilihan yang berbeza. Perbezaan di sini merujuk kepada beberapa aspek seperti sikap, pemikiran, tindakan dan termasuk personaliti serta sebarang bentuk perbezaan. Daripada aktiviti yang dijalankan, memang nyata berlaku perbezaan pilihan dikalangan peserta yang menggambarkan perbezaan itu sentiasa wujud di mana-mana. Dengan melihat beberapa personaliti yang kontra berdasarkan pilihan masing-masing, ini mungkin membawa kepada situasi yang tidak harmoni dalam konteks hidup bersama atau bermasyarakat. Adakah saudara-saudari selesa dengan situasi seperti ini ? Rakan saya dalam kelompok ini sepakat untuk tidak bersetuju dengan situasi yang tidak harmoni itu. Namun keharmonian tidak akan tercapai kiranya kita mengharapkan orang lain berperwatakan seperti kita atau sebaliknya.


3. ULASAN

Dalam dilema antara perbezaan watak dan keharmonian bermasyarakat, pilihan muktamad haruslah keharmonian. Ini bermakna, harus ada pengubahsuaian pada perwatakan atau perbezaan yang wujud untuk mendapatkan titik tengahnya. Sebagai satu analogi, si A sukar untuk berkawan dengan si B kerana perwatakan banyak berbeza dan masing-masing cuba untuk mempertahankannya. Dalam 10 perwatakan A dan B, hanya 5 yang mempunyai persamaan. Oleh itu, sekiranya A dan B ingin berkawan, mereka harus mengabaikan 5 lagi perwatakan yang tidak serasi itu dan berkongsi 5 perwatakan yang sama. Dengan ini mereka boleh berkawan dengan mudah. Suami isteri yang dibesarkan di bawah bumbung yang berbeza akhirnya hidup bahagia atas kesediaan mengubahsuai perwatakan dan personaliti masing-masing untuk mendapatkan titik tengah antara keduanya. Bagaimana pun, pengubahsuaian personaliti itu harus terkawal dalam lingkungan kita sebagai manusia yang beragama, waras serta tidak mengorbankan matlamat dan prinsip hidup yang murni. Janganlah mengharapkan ‘orang ramai menjadi’ seperti kita, tetapi berusaha untuk ‘menjadi ramai orang’ dan ‘ramai orang’ itu adalah orang-orang yang baik.

( NOTA : Mohon maaf kepada rakan kelompok perbincangan aktiviti ini, ada sedikit pengubahsuaian daripada perbincangan asal. Bagaimana pun idea utama adalah ilham daripada perbincangan tersebut. Terima kasih atas percambahan ilmu dengan kalian. Semoga berjaya )

Tuesday 10 February 2009

KEBEBASAN...........


Kebebasan adalah suatu yang sangat subjektif untuk ditafsir atau didefinasikan. Walaupun terdapat definasi khusus dari segi bahasa. Namun tafsirannya seringkali mencapah mengikut kepelbagaian dimensi pemikiran manusia. Perdebatan mengenai perkara ini selalunya sukar untuk menemui titik temu dikalangan individu yang terlibat. Jika ia menemui titik persefahaman, mungkin ia hanya melibatkan kelompok tertentu dan tidak diterima oleh pihak yang lain atau mungkin sementara sifatnya. Akhirnya tafsiran itu kembali kepada keadaan awal, iaitu bersifat subjektif.

Jika kita mendengar perbualan atau perbincangan mana-mana kumpulan mengenai perkara ini, rasanya kita akan temui pelbagai pandangan yang berbeza. Kebebasan bagi seorang anak biasanya bercanggah dengan kehendak ibubapa. Demikian juga bagi wanita yang bercanggah dengan lelaki, murid dengan guru, majikan dengan pekerja, ketua dengan pengikut atau sebagainya. Jika diperhalusi, percanggahan yang timbul ini mungkin kerana tafsiran kebebasan itu lebih cenderung dan dipengaruhi oleh kehendak dan kepentingan individu atau kumpulan tertentu. Oleh itu, kebebasan dan tafsiran kebebasan seperti ini bukanlah suatu yang mutlak kerana adanya pengaruh lain.

Daripada perbincangan singkat di atas, mungkin wujud suatu gambaran bahawa kebebasan itu sebenarnya tidak ada. Ini kerana kebebasan seorang peniaga adalah dipengaruhi oleh untung, Kebebasan seorang anak dipengaruhi oleh sifat keremajaannya, kebebasan seorang pengikut dipengaruhi oleh perjuangan haknya dan pemimpin dipengaruhi oleh kuasa dan pengaruh.

Untuk mengatakan langsung tiada kebebasan, mungkin ia bercanggah dengan realiti sebenar kehidupan manusia. Sedangkan pada hakikatnya sesetengah manusia merasai kebebasan berlaku dalam hidupnya. Namun dalam kita menggenggam dan mengamal kebebasan yang kita miliki, pastikanlah ia berlandaskan tuntutan agama semata-mata. Amat dibimbangi kebebasan yang dituntut dan dicari itu sebenarnya di pengaruhi oleh nafsu yang tidak baik. Ini bermakna kebebasan yang ditemui sebenarnya dikongkong oleh hawa nafsu semata (sudah tiada kebebasan)

Akhirnya, kebebasan itu sebenarnya terletak pada AKAL YANG WARAS dan HATI YANG TENTERAM. Akal yang waras akan akur pada KEBENARAN MUTLAK dan hati yang tenteram akan bebas daripada pengaruh HAWA NAFSU. Kebebasan seperti ini secara tidak langsung akan meningkatkan daya fikir dan menjadikan kita insan yang tahu akan hak dan tanggungjawab masing-masing. Inilah namanya KEBEBASAN HAKIKI yang harus mendasari pemikiran dan tindakan dalam kehidupan seharian. Semoga kejayaan yang luhur menjadi milik kita.

Friday 23 January 2009

DI SEBALIK SETIAP KEJAYAAN


Dalam melayari hidup seharian, pasti dikalangan kita pernah mengecapi kejayaan. Mungkin skalanya saja yang berbeza-beza. Ada kejayaan besar, sedang-sedang dan kecil. Namun kecil besarnya suatu kejayaan lebih bergantung pada tahap keinginan dan keperluan seseorang. Kejayaan besar bagi seorang yang amat mengimpikan computer riba ialah bila dia dapat memilikinya. Dalam situasi kita berjaya memperolehi apa yang kita impikan, pastinya kita akan rasa cukup gembira dan bahagia.

Apa saja hajat yang kita impikan dan tercapai, itu semuanya adalah kejayaan dan tahniah untuk itu semua. Namun, tanpa menafikan daya usaha sendiri dalam mengecapi kejayaan, sebenarnya banyak perkara di sebalik setiap kejayaan yang kita perolehi. Rasanya ia amat berkait rapat dengan nikmat Allah dan peranan individu-individu tertentu dalam hidup kita.Umum mengetahui bahawa manusia adalah ciptaan Allah. Ini termasuklah apa sahaja yang ada pada tubuh manusia. Manusia yang dikatakan berjaya itu wujud secara fizikalnya kerana Allah. Tiada kejayaan disebut bagi manusia yang belum pernah lahir ke dunia. Ini bermakna, kejayaan itu sebenarnya datang daripada Pencipta.

Adakah ibu dan ayah punya peranan dalam setiap kejayaan yang kita kecapi ? semoga kita sekata mengatakan ‘ya’. Pada usia kini, kebanyakan perkara kita boleh lakukan sendiri termasuk mencapai kejayaan. Tapi kalau kita renungkan pada usia bayi, kita hanya tahu menggeliat dan menangis di samping kemahiran semulajadi yang Allah berikan. Pada usia ini hampir segala-galanya ibu dan ayah yang lakukan untuk kita. Ini termasuklah soal makan minum, pakaian dan keselamatan serta kasih sayang. Di bawah paras kematangan akal, ibu dan ayah membantu kita untuk memilih baik buruk suatu perkara untuk kita. Dengan lorong kehidupan yang di rintis oleh ibu dan ayah, kita berada seperti pada hari ini. Ini bermakna, apa saja kejayaan yang kita kecapi, benih awalnya adalah datang dari daya usaha ibu dan ayah. Belum lagi cerita susah payah mereka membesarkan kita. Kesanggupan ibu melahirkan kita pada usia sembilan bulan sudah merupakan satu pengorbanan yang terlalu besar. “Buat ibu dan ayah, setiap inci kejayaan yang ku perolehi, akan ku persembahkan sebagai hadiah yang berharga dariku sebagai anak”.

Selain berfungsi sebagai anak, mungkin ramai dikalangan kita yang bergelar abang, kakak atau adik. Dengan gelaran ini, bermakna kita punya peranan dan tanggungjawab kepada abang, kakak dan adik serta langsung terhadap ibubapa. Oleh itu, jumlah masa yang digunakan untuk mengejar impian makin kecil dan sedikit menggugat perancangan. Namun atas toleransi adik-beradik, beberapa fungsi dan tanggungjawab yang sepatutnya kita laksanakan diberi pengecualian. Malah kerja-kerja peribadi kita turut dibantu. Mereka faham akan hasrat yang kita impikan dan lebih jauh daripada itu, mereka turut bangga dengan setiap kejayaan yang kita perolehi. Dengan abang, kakak dan adik membantu, faham dan bangga terhadap kejayaan kita, bermakna mereka punyai saham dalam kejayaan yang kita kecapi. Demikian juga buat isteri/suami dan anak-anak, mereka punya peranan yang tidak kurang pentingnya dalam setiap kejayaan yang kita kecapi.

Bagi mereka yang pernah melalui alam persekolahan hingga ke menara gading, pasti terkenang akan jasa guru-guru dan para pensyarah yang pernah mendidik kita. Kalau pun kita tidak berjaya dalam bidang akademik, sekurang-kurangnya mereka telah membantu kita dari segi berfikir. Bagaimana dengan peranan rakan-rakan ? Rasanya mereka juga punyai peranan dalam membantu setiap kejayaan yang kita kecapi. Sekurang-kurangnya mungkin hanya berbentuk sokongan moral atau sebagainya. Soal besar kecilnya peranan mereka terserah pada kita menilainya. Namun pasti tetap ada termasuklah rakan yang meremehkan usaha kita juga, sebenarnya menyumbang kepada kejayaan yang kita kecapi. Akhirnya, siapa sahaja yang ada di sekeliling kita, mereka turut menyumbang kepada kejayaan kita, sama ada langsung atau tidak.

Syukur kepada Allah atas segala nikmatNya. Terima kasih kepada ibu dan ayah, abang, kakak, adik, isteri/suami, anak-anak, para guru dan pensyarah, rakan-rakan dan sesiapa sahaja yang turut membantu setiap kejayaan yang dikecapi. Semoga mendapat balasan yang melimpah ruah atas sokongan dan bantuan yang diberikan sama ada langsung atau tidak.

Monday 12 January 2009

NILAI DAN KEHIDUPAN 3 : POSITIF ATAU NEGATIF ???


Sebelum melelapkan mata pada waktu malam,ada kalanya kita teringat peristiwa di siang hari dan seterusnya kita merancang aktiviti atau tindakan pada hari esoknya. Mungkin juga perancangan itu suatu yang baik atau buruk, positif atau negatif, bermanfaat atau mudharat, membawa keamanan atau kehancuran dan sebagainya. Namun semua kemungkinan ini akhirnya hilang buat sementara saat kita telah pun melelapkan mata.

Apa bila subuh menjelang tiba, perancangan mulai teringat kembali dan semakin hampir kepada perlaksanaannya. Jika suatu yang dirancang itu baik, positif dan bermanfaat, pastinya mudah untuk mengambil keputusan tentang perlaksanaanya. Tambahan pula, kebanyakan manusia akan menyokong dan mendorong perancangan yang baik dan bermanfaat untuk dilaksanakan. Oleh itu, adalah amat baik dan wajar perancangan seumpama ini direalisasikan dalam aktiviti harian kita.

Sebaliknya, jika perancangan itu suatu yang negative, mudharat dan membawa kepada kehancuran, semestinya ia memerlukan pemerahan otak untuk memikirkan perlaksanaannya. Mungkin mengatakan YA adalah payah dan mengatakan TIDAK pun adalah sukar. Pada peringkat ini, adalah jelas bahawa positif lebih baik daripada negative, manfaat lebih baik daripada mudharat dan keamanan lebih baik daripada kehancuran. Oleh itu, dalam situasi ini, mengubah pemikiran dan perancangan kepada yang positif adalah keputusan yang bijak.

Sebagai manusia biasa, ada ketikanya terpaksa memilih perancangan dan tindakan yang negatif dan memudharatkan dalam aktiviti harian kita. Dalam situasi yang amat rumit ini, adalah kurang bijak sekiranya tidak di usahakan terlebih dahulu perancangan dan tindakan yang positif sebelum melaksanakan tindakan yang negative. Mungkin lebih bijak jika tidak perlu membuat pilihan atau keputusan sekiranya keputusan atau pilihan itu adalah negative. Apa gunanya kita bergerak ke hadapan, jika dosa dan mudharat habuannya. Lebih baik pilihan ini ditangguhkan atau cari saja pilihan lain yang lebih bermanfaaf untuk kehidupan yang abadi. Adalah amat rugi sekiranya memilih tindakan negative untuk dilaksanakan dengan begitu mudah dan mungkin inilah yang dikatakan sebagai kejahatan yang percuma. Amat ngeri dan menakutkan pula sekiranya cara berfikir dan bertindak seperti ini menjadi amalan harian kita. Mungkin benarlah kata orang, anda adalah orang yang berfikiran negative.

Bagaimanapun, dalam apa jua situasi, adalah jelas kebaikan tetap mengatasi keburukan, positif lebih baik daripada negative dan keamanan lebih baik daripada kehancuran. Oleh itu, pilihlah untuk sentiasa berfikir secara positif dan mulakanlah setiap hari kita dengan pemikiran, perancangan dan tindakan yang positif.

Sunday 11 January 2009

NILAI DAN KEHIDUPAN 2 : 0, 1 DAN 2, TAPI 3..........



Dalam setiap pekerjaan yang dilakukan oleh manusia, pastinya mengharapkan hasil atau pulangan yang baik dan memuaskan. Tidak kiralah hasil itu sama ada berupa material atau bukan. Skala hasil atau pulangan itu pula mungkin bertumpu kepada individu itu sendiri atau orang lain, keluarga, masyarakat, agama atau Negara.

Antara usaha dan pulangan ada ketikanya setimpal atau sebaliknya. Dalam situasi yang positif, usaha adalah setimpal dengan pulangan atau melebihi usaha. Sebaliknya dalam keadaan yang kurang baik, pulangan yang diterima adalah sedikit berbanding daya usaha yang dilakukan. Pada ketika inilah biasanya timbul nada-nada kecewa pada individu-individu tertentu. Maka, keluarlah ungkapan seperti “buat apa bekerja lebih kalau hasilnya hanya sedikit, kalau begini lebih baik tiada, penat-penat aku kerja ini saja aku dapat” dan sebagainya.

Secara relatifnya, bilangan atau angka satu itu adalah kecil dan sedikit. Bagaimanpun kita harus sedar, ia adalah jauh lebih baik daripada langsung tiada atau kosong . Tambahan pula, nada-nada yang sumbang itu agak kurang bertepatan dengan peranan manusia yang harus sentiasa menghargai dan mensyukuri setiap pemberian sama ada daripada sesama manusia atau dari penciptanya. Banyak atau sedikit adalah persoalan yang lain.

Mensyukuri sesuatu yang diperolehi bukanlah bermakna menerimanya secara mutlak tanpa sebarang usaha untuk mendapat sesuatu yang lebih baik lagi. Walaupun “ada” itu jauh lebih baik daripada lanngsung tiada, tetapi “banyak” pastinya lebih baik daripada “sedikit”. Dalam konteks ini, ia bukan dirujuk pada persoalan nafsu tamak haloba, tetapi lebih merupakan satu inisiatif untuk mencapai sesuatu yang lebih baik dalam hidup. Pendek kata, bersyukurlah dengan apa yang ada kerana ia lebih baik daripada langsung tiada, tetapi dalam masa yang sama sentiasalah berusaha untuk meningkatkanya.

Lebih baik ada APA-APA daripada langsung tiada APA-APA. Tambah baik lagi kalau APA-APA yang ada itu diAPA-APAkan agar menjadi APA-APA yang lebih baik APA-APA itu apa ? Apa saja yang kita rasa baik untuk diri dan sekitaran kita. 1 sudah jauh lebih baik daripada 0. Tapi lebih baik lagi kalau 1 itu diusahakan menjadi 2. Bagaimana pun kita jangan lupa bahawa ada lagi yang lebih baik daripada 2 iaitu 3. Carilah yang terbaik dalam hidup kita.

Saturday 3 January 2009

NILAI DAN KEHIDUPAN 1 : SEGALANYA KETENTUAN ILAHI

Ungkapan yang berbunyi “Allah menentukan segala-galanya” merupakan satu kenyataan yang amat jelas tentang kekuasaan Allah di muka bumi ini . Tiada satu pun kejadian yang berlaku terkecuali dari ketentuan Allah. Sebagai manusia, hakikat ini tidak harus di terima sebagai pengetahuan sahaja, sebaliknya harus menjadi dasar dalam kehidupan. Ini bermakna, orientasi pemikiran dan tindakan harian manusia harus merasakan kekuasaan Allah ada di mana-mana dan mengatasi segala-galanya.

Dalam penerimaan hakikat ini secara mutlak, harus disedari bahawa kebanyakan suatu yang berlaku itu adalah menjadi rahsia Allah. Perkara ini termasuklah soal rezeki, jodoh, ajal maut dan sebagainya. Bagaimana pun, peringatan, panduan dan tanda-tanda awal telah di berikan terlebih dahulu kepada manusia.

Keyakinan terhadap ketentuan Allah bukan bermakna tidak perlu berusaha kerana semuanya telah ditentukan. Ini agak bercanggah dengan konsep kerahsiaan sesuatu kejadian atau suatu perkara. Pastinya antara hikmah kerahsiaan itu ialah supaya manusia berusaha bersungguh-sungguh dalam setiap pekerjaannya.Keakuran/penerimaan terhadap ketentuan Allah pula secara tidak langsung mendidik manusia untuk berhati-hati dalam setiap tindak-tanduknya atau pekerjaan hariannya agar sentiasa selari dengan kehendak dan perintah Allah.

Memahami dan menerima dua konsep ini akhirnya akan menerbitkan/mendatangkan banyak nilai-nilai positif dalam diri manusia. Pastinya seseorang itu tidak terlalu berdukacita atau berputus asa apabila bertembung dengan kegagalan. Sebaliknya ia tidak merasa angkuh dan sombong apabila mengecapi kejayaan.