Tuesday 31 March 2009

GOTONG-ROYONG


Pagi ini ( 28 mac 2009 ) saya di amanahkan mengiring pelajar untuk program gotong-royong membersihkan sampah di persekitaran pekan Semporna. Ia melibatkan pelbagai jabatan, organisasi dan orang perseorangan. Sebelum aktiviti dimulakan, ada ucapan dan perasmian oleh Pengerusi Program.

Saya tidak dapat memetik secara detail ucapan tersebut. Cuma daripada pemahaman saya, soal sampah dan kekotoran sangat berkait rapat dengan soal SIKAP dan MENTALITI. Namun sesekali peserta melaungkan tentang SAMAN. Tapi Pengerusi tetap berbicara soal SIKAP. Saya setuju dengan ucapan Pengerusi.

Apa sahaja peraturan dan penguatkuasaan yang dibuat, ia akan berdepan dengan kesukaran selagi KSEDARAN DALAMAN itu tiada. Jadi usaha berubah dan mengubah SIKAP dan MENTALITI harus diambil perhatian. Saya percaya ia bukan suatu kerja MUDAH. Tidak apa, yang penting, “MULAKAN DENGAN DIRI KITA SENDIRI”.

Monday 30 March 2009

MESEJ DARI SHOPPING


Membeli baju di pusat membeli-belah. Sebagai amalan biasa, saya akan tengok corak dan warnanya, kemudian rasa dengan jari jenis kainnya. Selepas itu, baru saya tengok HARGANYA. Jika harganya di luar kemampuan, saya tinggalkan dan cari yang lain. Sebenarnya saya cuba mencari baju yang cantik corak dan warnanya, kualiti kainnya dan murah harganya.. Namun dalam kebanyakan kes, jika baju itu cantik corak dan warnanya serta kualiti kainnya, pasti harganya pun CANTIK ( kekadang ada juga kekecualiannya )

Oleh kerana peristiwa di atas seringkali berulang, akhirnya saya akur bahawa apa sahaja barangan yang berkualiti, harganya agak sedikit tinggi. Walaupun kita tidak suka dengan keadaan ini, tapi ia adalah BETUL dan BENAR dalam kebanyakan situasi. Maknanya, jika kita ingin mendapat kepuasan yang lebih, maka kita kena bayar lebih. Ini mungkin sedikit daripada kompenan HUKUM ALAM atau KEHIDUPAN. Oleh itu, janganlah selalu mengharap untuk mendapat kepuasan yang tinggi bagi NILAI RINGGIT yang RENDAH. Kalau tidak setuju dengan situasi ini, mungkin kita akan mengalami sedikit kerumitan semasa shopping.

Kita tukar situasi di atas kepada KEJAYAAN dan KESELESAAN hidup. Kalau kualiti datang bersama harga yang tinggi, bererti KEJAYAAN dan KESELESAAN hidup MESTI datang bersama USAHA. Kejayaan dan usaha punya hubungan langsung. Tinggi usaha, tinggilah kejayaan. Sebaliknya, rendah usaha, rendahlah kejayaan. Menyedari konsep “kunfayakun” amat rendah kemungkinannya untuk kita, maka kita tidak punya pilihan selain BERUSAHA untuk kejayaan dan hidup yang selesa.

Janganlah mengharapkan kejayaan yang BESAR untuk usaha yang KECIL sebagaimana megharapkan harga murah untuk barangan yang berkualiti. Walaupun ia punya kemungkinan untuk berlaku, namun ia lebih cenderung sebagai mimpi kosong. Orang BERUSAHA belum tentu berjaya, manakah mungkin orang yang TIDAK BERUSAHA pula yang berjaya. Agak sedikit MUSTAHIL.

Akhirnya saya rumuskan begini, laluan kejayaan dan keselesaan hidup itu Cuma SATU iaitu “BERUSAHA”. Maka MERANCANG dan BERTINDAK merupakan pengisian kepada USAHA untuk mencapai KEJAYAAN dan KESELESAAN HIDUP. Ayuh! Kita mulakan hari ini.

Friday 27 March 2009

KESIBUKAN YANG MENYERONOKKAN




Lawan bagi “kesibukan” ialah “tidak sibuk”. Mungkin dalam bahasa yang lebih mudah ialah “Rehat”. Jadi, antara REHAT dan SIBUK, mana satu yang sesuai dipilih? Sebagai manusia normal, saya pilih rehat. Kalau saya tambahkan ungkapannya dengan, “ KESIBUKAN YANG MENYERONOKKAN DAN REHAT YANG MENYUSAHKAN, mana satu pilihan baik.

Dalam konteks di atas, saya pilih kesibukan kerana ia datang bersama keseronokan. Apatah lagi jika keseronokan itu memenuhi tuntutan syarak. Sebenarnya selagi BERNAFAS, kita harus pilih sibuk dan menyibukkan diri tapi biarlah ia menyeronokkan dan bermanfaat. Memilih rehat atau “Parking” sebenarnya menjanjikan masa depan yang kelam yang akhirnya menyibukkan tubuh dan minda suatu hari nanti.

Apa maksud saya dengan kesibukan yang menyeronokkan ? kita sibuk dengan kerja-kerja harian sebagai ayah dan suami, sebagai penjawat awam dan sebagai manusia yang hidup bermasyarakat. Ini semua adalah tanggungjawab harian yang merupakan pelaburan masa depan. Oleh itu, usahlah mengeluh dengan kesibukan yang seperti ini. Sebaliknya ia suatu yang amat meyeronokkan kerana kesibukan itu KENA PADA TEMPATNYA daripada rehat yang tidak menjanjikan apa-apa.

Sama-samalah bertanya pada diri, APAKAH KITA BERADA PADA KESIBUKAN YANG MENYERONOKKAN DAN BERMANFAAT ATAU KITA SIBUK DENGAN PERKARA YANG TIDAK SEPATUTNYA. Fikir dan renung sejenak.

Wednesday 25 March 2009

PENGENALAN DIRI / SELF INTRO







1. AKTIVITI

Slot dimulakan dengan bacaan Al-fatihah. Peserta seramai 7 orang yang terdiri daripada kakitangan hospital, guru dan seorang kakitangan imagrisen. Sesi seperti ini adalah pengalaman pertama bagi semua rakan peserta. Setelah sedikit ice breaking dilakukan, saya teruskan sesi dengan menjelaskan tentang aktiviti perbincangan yang akan dijalankan. Bagi manfaat bersama, saya ketengahkan juga ETIKA-ETIKA perbincangan agar hasil yang diperolehi memberi pulangan yang bermakna untuk semua.

Untuk memulakan aktiviti, saya memperkenalkan diri ( nama, asal dan pekerjaan ) dan diikuti dengan rakan peserta untuk item yang sama. Pada pusingan kedua, saya sekali lagi memperkenalkan diri kepada rakan peserta. Kali ini mereka diberi peluang seluas-luasnya mengemukakan pertanyaan tentang latarbelakang atau apa sahaja yang dirasakan perlu untuk ditanya. Selesai giliran saya, semua rakan peserta melalui proses yang sama secara bergilir-gilir.

2. PERBINCANGAN

Setelah semuanya mengambil bahagian, saya meminta respon rakan peserta tentang PERASAAN mereka setelah melalui sesi PENGENALAN DIRI. Antara jawapan yang diberikan ialah timbulnya rasa selesa berada dalam kumpulan kerana semakin wujud rasa kemesraan, keyakinan, kekitaan dan mulai saling memahami antara satu sama lain. Mereka mengakui perbezaan amat jelas antara sebelum melalui dan sesudah melalui aktiviti Pengenalan Diri. Rakan-rakan mengakui juga bahawa semakin tinggi darjah perkenalan dengan orang lain, semakin tinggi darjah kemesraan dan keyakinan diantaranya.

Dalam perbincangan ini, saya ketengahkan contoh tentang seorang anak yang cukup rasa selesa dan selamat bersama ibubapanya kerana darjah mengenali antara mereka amat tinggi. Demikian juga dengan perasaan seorang ISTERI yang amat selesa dan selamat bersama suami ( walau pun suami itu penakut ) kerana amat memahami dan mengenali antara mereka.

3. ULASAN

Dengan respon dan hujah yang diberikan oleh rakan peserta, saya menggunakan ‘Tingkap Johari’ untuk membuat sedikit ulasan. Tingkap Johari terbahagi kepada 4 bahagian. Bahagian pertama dikenali sebagai “aku tahu dan kamu tahu”. Bahagian kedua, “aku tahu tapi kamu tidak tahu”. Bahagian ketiga ialah “aku tidak tahu tapi kamu tahu”. Bahagian keempat “aku tidak tahu dan kamu tidak tahu”. Soal “tahu” dan “tidak tahu” adalah merujuk kepada latarbelakang peserta masing-masing dalam kumpulan.

Bahagian pertama adalah berkaitan dengan perkara luaran seperti warna baju yang dipakai, warna kulit, tahi lalat di muka, cincin di jari dan sebagainya. Bahagian kedua pula berkaitan dengan latarbelakang peribadi seperti bilangan adik-beradik, sudah kahwin atau belum, berapa anak dan isteri serta namanya, berasal dari mana, makanan kegemaran, hobi dan sebagainya. Bahagian ketiga lebih banyak menjurus kepada soal sikap dan perwatakan seperti penyabar, sombong, jujur, tolak ansur, pemarah dan sebagainya. Akhir sekali bahagian keempat. Ia meliputi soal jodoh dan perkahwinan, ajal dan maut dan sebagainya.

Dalam proses pengenalan diri, bahagian pertama, kedua dan ketiga akan semakin membesar. Pada tahap maksima dan ideal, bahagian kedua dan ketiga akan menjadi bahagian pertama semuanya ( aku tahu dan kamu tahu ). Ini bergantung kepada darjah saling mengenali dan komunikasi antara mereka. Serentak dengan itu juga, bahagian keempat akan semakin mengecil iaitu hanya soal jodoh dan mati ( hanya tuhan yang tahu ). Proses daripada “tidak tahu” kepada “tahu” itu mungkin berlaku secara sedar atau tidak sedar dan langsung atau tidak langsung. Ia lebih mudah berlaku melalui penaakulan REFLEKTIF dan BANDING BEZA di kalangan kita ( peserta )

Secara keseluruhannya, proses PENGENALAN DIRI itu seterusnya perlu diaplikasikan ke DALAM DIRI secara individu. Saya gariskan TIGA TAHAP pengenalan diri yang membawa kepada MENGENALI DIRI masing-masing. Tahap pertama adalah proses mengenali diri secara LUARAN atau FIZIKAL. Tahap kedua pula ialah proses mengenali diri dari segi AKHLAK dan SIKAP. Tahap ketiga adalah proses muhasabah diri untuk mengenali POTENSI dan KELEMAHAN DIRI.

Melalui tiga tahap ini, mungkin akan menjadikan kita insan yang tahu bersyukur terhadap nikmat PENCIPTA serta menjaga dan menghargai kesihatan yang ada. Mengenali baik buruk akhlak dan sikap diri, mungkin memudahkan kita mencari dan mengambil POSISI yang sesuai dalam pelbagai situasi. Dengan mengenali potensi dan kelemahan diri pula, mungkin kitalah “MANUSIA” yang sentiasa SUKSES dalam apa jua lapangan yang diceburi. InsyaAllah….


( NOTA : Mohon maaf kepada rakan kelompok perbincangan aktiviti ini, ada sedikit pengubahsuaian daripada perbincangan asal. Bagaimana pun idea utama adalah ilham daripada perbincangan tersebut. Terima kasih atas percambahan ilmu dengan kalian. Semoga berjaya )

Sunday 22 March 2009

DEMI HIDUP DAN KEHIDUPAN


Pertamanya saya ucapkan terima kasih pada SIFU kerana memberikan gambar di atas. Paling terima kasih lagi kerana memberikan kata-kata nasihat dan semangat yang cukup bermakna.

Melihat imej di atas, mungkin akan timbul pelbagai persepsi dan pandangan di kalangan kita. Bagi saya secara peribadi gambar ini menyentuh sedikit emosi. Ia membawa makna dan tafsiran yang cukup mendalam tentang hidup dan kehidupan. Gambar ini adalah realiti kehidupan yang berlaku di Vietnam.

Melihat saiz sampan yang bukan sampan dan tangan kiri yang kudung itu membangkit rasa insaf dan simpati yang amat mendalam. Lalu saya rasakan pemuda ini punya kemungkinan tinggi untuk karam. Persoalannya, dengan tangan kiri yang kudung itu, bolehkah dia berenang ? Mungkin pemuda itu akan jawab " Ini bukan persoalan karam, kudung atau boleh berenang, ini adalah persoalan hidup dan kehidupan yang harus diteruskan ".

Persoalan-persoalan yang perlu kita renungkan......... sanggupkah kita berada dalam situasi seperti ini ? kalau pun berada dalam situasi ini, bolehkah kita melakukan seperti pemuda ini ? terserah pada diri kita masing-masing.

Friday 6 March 2009

MELAKAR POTRET IBU



1. AKTIVITI

Peserta terdiri daripada pelajar tingkatan 3 dengan bilangan seramai 11 orang. Aktiviti dimulakan dengan sedikit Ice Breaking. Setiap peserta diberikan sehelai kertas A4 yang kosong. Saya bertanya kepada peserta, adakah ibu mereka masih hidup buat masa ini ? Alhamdulillah, semuanya masih berada di alam nyata. Peserta diminta duduk berasingan dalam bilik perbincangan. Saya memberikan arahan agar semua peserta melakar potret ibu masing-masing pada sehelai kertas putih yang diberikan. Saya juga meminta agar mereka membuat lakaran tercantik dan sebaik-baiknya menyerupai wajah sebenar ibu mereka. Aktiviti ini di pilih setelah mendapat maklumat daripada penyelaras tentang latarbelakang peserta yang sedikit bermasalah disiplin. Semasa peserta melaksanakan tugasan ini, saya memerhati secara on-off agar karektor sebenar peserta terpamer semasa mengikuti aktiviti ini.

2. PERBINCANGAN

Aktiviti melakar potret ibu bukanlah satu-satunya aktiviti yang mujarab untuk menangani pelajar yang bermasalah disiplin. Saya memilihnya atas pandangan dan cadangan rakan. Lalu saya merasakan sesuai atas perkiraan kedudukan seorang ibu yang cukup tinggi di hati seorang anak. Semasa aktiviti berlangsung, beberapa situasi dan tingkahlaku peserta yang agak mengecewakan dan sedikit menimbulkan rasa sakit hati. Ada di antara mereka yang melakar sambil lewa sehingga sekali-sekala tertidur. Sementara dua tiga orang peserta sambil bergelak-ketawa serta sekali-sekala mengganggu rakan yang lain. 10 daripada 11 orang peserta membuat lakaran ala kadar dan sengaja melakar rupa paras seorang ibu yang tidak sepatutnya. Mereka sedikit pun tidak rasa tersentuh dengan aktiviti ini.

Setelah masa yang diberikan mencukupi, saya kutip semua lakaran yang mereka buat lalu saya paparkan satu demi satu kepada mereka sambil bertanya, adakah ini menghampiri rupa paras ibu mereka ? sebagaimana yang saya ramalkan, sudah tentu tidak dan jauh dari rupa paras yang sebenar. Malah ada lagi yang menambah lakaran yang bukan-bukan. Oleh kerana masa yang semakin suntuk, saya tidak sempat menanjangkan perbincangan dengan mereka. Dengan tindakan spontan dan muka serius, saya renyuk dan koyakkan semua lakaran itu dihadapan mereka sambil melontarkan persoalan, “inikah balasan yang ditunjukkan oleh seorang anak pada ibunya ? peserta terpegun melihat tindakan spontan dan nampak seolah-olah mara. Situasi seperti ini sengaja diwujudkan memandangkan ini adalah slot terakhir bersama mereka dan setelah pendekatan lembut dan membelai tidak memberi kesan kepada mereka.

IBU adalah insan yang teramat mulia dalam hidup seorang anak. Bermula dengan tanggungjawab “mengandung” kita selama sembilan bulan sehinggalah kepada kepayahan dan kesengsaraan melahirkan kita. Tidak cukup dengan itu, pada usia bayi dan ibu masih dalam pantang, kepayahan masih dirasai dengan kekadang berjaga malam demi menjaga anak agar membesar dengan baik dan sihat. Akhirnya adik-adik peserta berada pada usia kini. Dalam pada itu, tanggungjawab memberi kasih sayang, pakaian dan makan minum tetap ditunaikan walaupun cabaran mencari nafkah di lapangan hidup amat memcabar. Saya berkongsi pengalaman ini bersama adik-adik kerana saya semakin faham dan lebih mengerti setelah bergelar ayah. Yakinlah adik-adik, tiada tolok bandingnya nilai seorang anak pada ibu dan ayah. Tapi mengapa sering kali anak memberikan balasan yang tidak setimpal terhadap jasa dan pengorbanan ibu dan ayah. Di mana kamu letak ibu dalam hidup kamu kalau sekadar melakar potretnya, kamu mempersendakanya. Ibu akan rasa terguris dan risau jika mendengar dan mengetahui tentang masalah anaknya. Tapi bagaimana dengan kita ? sedikit pun adik-adik tidak rasa bersalah dan tersentuh dengan mempersendakan lakaran potret ibu. Layakkah kita digelar anak sedangkan kita mempersendakannya ? mungkin adik-adik tidak dapat menilainya kerana insan itu masih berada di sisi kalian dan renungkan sendiri kiranya mereka telah menyahut panggilan ilahi !

3. ULASAN

Daripada reaksi adik-adik, saya melihat satu keinsafan dan kesedaran tentang jasa dan pengorbanan ibu dan ayah ( ada yang menitiskan air mata ). Saya harap dan doakan agar adik-adik sentiasa menghormati dan menghargai insan bergelar ibu. Mereka tidak mengharapkan balasan berupa wang ringgit dan harta benda. Ibu bapa hanya mengharapkan anak-anaknya berjaya dalam bidang akademik serta punya akhlak yang baik. Bagi mereka, hadiah yang paling berharga adalah anak yang soleh dan solehah sebagai kebanggaan di dunia dan bekal di akhirat. Adik-adik masih belum terlambat untuk mengubah segalanya. Ruang masih ada untuk adik-adik memperbaiki diri khususnya dalam bidang akademik dan sahsiah. Berilah peluang ibu dan ayah merasa bangga dan bahagia melihat kejayaan anda, senangkanlah hati mereka.

Adik-adik sekalian, aktiviti ini hanyalah satu simulasi kehidupan. Kesilapan yang adik-adik lakukan adalah pengajaran semata-mata. Pastinya kesilapan ini janganlah berlaku dalam realiti kehidupan anda. Sayangilah ibu, sayangilah ayah. Mohon maaf pada mereka serta cuimlah tangannya. Bertekadlah dalam diri untuk menjadi anak yang soleh dan solehah. Terokailah kesilapan dan kelemahan diri dan kikislah ia dari diri adik-adik. Betulkan niat adik-adik terhadap ibu dan ayah, insyaAllah kejayaan akan menjadi milik anda. Akhirul kalam, saya mohon maaf pada adik-adik jika terlanjur kata terkasar bahasa. Mungkin terpaksa dilakukan demi niat yang murni terhadap adik-adik. Semoga berjaya dalam peperiksaan dan menjadi anak yang soleh dan solehah.