Showing posts with label Makmal Kehidupan. Show all posts
Showing posts with label Makmal Kehidupan. Show all posts

Thursday, 7 May 2009

MENCARI BENDA HIDUP


1. AKTIVITI

Slot dimulakan dengan bacaan Al-fatihah. Peserta seramai 8 orang yang kebanyakannya adalah kakitangan hospital, seorang kakitangan RTM Sabah dan saeorang lagi kakitangan KPDNHEP serta Kolej Matrikulasi Labuan. Sesi petang ini dimulakan dengan sedikit ice breaking ringan/mudah agar sesi berjalan dalam situasi santai dan ceria. Aktiviti pengisian dimulakan dengan meminta setiap rakan peserta MENCARI DAN MENANGKAP BENDA HIDUP sama ada dalam bilik perbincangan atau di luar bilik perbincangan. Masa 2 minit diberikan untuk tugasan ini.

2. PERBINCANGAN

Setelah masa yang diberikan tamat, semua rakan peserta kembali duduk dalam bulatan dengan membawa benda hidup masing-masing. Kebanyakannya memilih untuk mengambil SERANGGA dan TUMBUHAN sebagai benda hidup. Seorang dua daripada mereka mengambil KAWAN di sebelah sebagai benda hidup.

Tahniah atas usaha dan komitmen kalian. Mari kita kenal pasti PENGKELASAN benda hidup. Biasanya ia terbahagi kepada tiga iaitu TUMBUHAN, HAIWAN dan MANUSIA. Kelihatan rakan peserta sudah mula tersenyum sipu terutama yang mengambil TUMBUHAN dan SERANGGA. Rakan yang memgambil kawan di sebelah sebagai benda hidup nampak sedikit ceria seolah-olah menepati keperluan aktiviti ini.

Perbincangan diteruskan. Saya percaya rakan peserta yang mengambil KAWAN di sebelah sebagai benda hidup menyedari dia adalah tergolong sebagai benda hidup. Kalau demikian perkiraannya, lebih baik menangkap DIRI SENDIRI kerana DIRI itu adalah juga benda hidup sebagai mana KAWAN di sebelah. Tidak apa, bukan saudara-saudari sahaja yang berbuat demikian. Kebanyakan rakan peserta yang lepas membuat perkara yang sama. Agaknya kenapa ? banyak pandangan yang diberikan. Dalam situasi bergurau, saya nyatakan bahawa agaknya kita mungkin lupa bahawa kita ini HIDUP.

Dalam perbincangan selanjutnya, saya PADANKAN dua perkataan iaitu HIDUP DAN MANUSIA dengan maksud bahawa kita ini adalah MANUSIA YANG HIDUP. Bila dinyatakan bahawa manusia itu hidup, bererti DITUNTUT ke atasnya pelbagai TANGGUNGJAWAB. Secara ringkasnya, tuntutan tanggungjawab itu TERHALA kepada 3 kelompok utama iaitu tanggungjawab terhadap ALAM (flora/fauna) SESAMA MANUSIA dan pada PENCIPTA.

PENCIPTA telah melaksanakan TANGGUNGJAWAB sepenuhnya terhadap manusia dan ALAM sedang BERFUNGSI pada landasannya. Jadi tidak perlu lagi kita menuntut sebarang HAK daripada ALAM dan PENCIPTA. Sebaliknya, menjadi TANGGUNGJAWAB kita untuk menunaikan HAK alam dan Pencipta terhadap kita.

BAGAIMANA PULA TANGGUNGJAWAB SESAMA MANUSIA ? seringkali situasi ini berada dalam hubungan yang TIDAK SEIMBANG. Kenapa ya ? mungkin disebabkan manusia lebih CENDERUNG menuntut HAK daripada menunaikan TANGGUNGJAWAB. Rasanya, jika kita masing-masing menunaikan TANGGUNGJAWAB, maka HAK itu mungkin datang dengan mudah kepada kita. Oleh itu, sebagai MANUSIA HIDUP, TANGGUNGJAWAB adalah lebih dekat dengan kita berbanding HAK. Jadi sama-samalah kita melaksanakan TANGGUNGJAWAB terhadap ALAM, PENCIPTA dan sesama MANUSIA.

3. ULASAN

Daripada aktiviti ini, tiada seorang pun yang mengambil dirinya sebagai benda hidup kerana mungkin kita LUPA bahawa kita ini HIDUP. MUNGKIN JUGA INI JAWAPAN KEPADA “KENAPA KITA SERING LUPA TENTANG TANGGUNGJAWAB SEBAGAI MANUSIA HIDUP”. Bagaimana supaya kita ini sentiasa INGAT bahawa kita ini HIDUP ? Perumpamaan menyatakan “Hanya si BUTA yang tahu nilai PENGLIHATAN, si PEKAK tahu nilai PENDENGARAN dan si MISKIN tahu nilai WANG”. Jadi, NILAI KEHIDUPAN mungkin dapat dirasai dengan menyedari bahawa kita ini akan MATI. Oleh itu, BERUSAHALAH kita untuk MELUNASKAN TANGGUNGJAWAB SEMAKSIMA mungkin kerana jika kita tahu bahawa kita ini HIDUP, maka kita KENA TAHU juga bahawa kita ini akan MATI. MANFAATKANLAH HAYAT YANG ADA SELAGI MAUT BELUM MENJEMPUT KITA.



( NOTA : Mohon maaf kepada rakan kelompok perbincangan aktiviti ini, ada sedikit pengubahsuaian daripada perbincangan asal. Bagaimana pun idea utama adalah ilham daripada perbincangan tersebut. Terima kasih atas percambahan ilmu dengan kalian. Semoga berjaya )

Wednesday, 25 March 2009

PENGENALAN DIRI / SELF INTRO







1. AKTIVITI

Slot dimulakan dengan bacaan Al-fatihah. Peserta seramai 7 orang yang terdiri daripada kakitangan hospital, guru dan seorang kakitangan imagrisen. Sesi seperti ini adalah pengalaman pertama bagi semua rakan peserta. Setelah sedikit ice breaking dilakukan, saya teruskan sesi dengan menjelaskan tentang aktiviti perbincangan yang akan dijalankan. Bagi manfaat bersama, saya ketengahkan juga ETIKA-ETIKA perbincangan agar hasil yang diperolehi memberi pulangan yang bermakna untuk semua.

Untuk memulakan aktiviti, saya memperkenalkan diri ( nama, asal dan pekerjaan ) dan diikuti dengan rakan peserta untuk item yang sama. Pada pusingan kedua, saya sekali lagi memperkenalkan diri kepada rakan peserta. Kali ini mereka diberi peluang seluas-luasnya mengemukakan pertanyaan tentang latarbelakang atau apa sahaja yang dirasakan perlu untuk ditanya. Selesai giliran saya, semua rakan peserta melalui proses yang sama secara bergilir-gilir.

2. PERBINCANGAN

Setelah semuanya mengambil bahagian, saya meminta respon rakan peserta tentang PERASAAN mereka setelah melalui sesi PENGENALAN DIRI. Antara jawapan yang diberikan ialah timbulnya rasa selesa berada dalam kumpulan kerana semakin wujud rasa kemesraan, keyakinan, kekitaan dan mulai saling memahami antara satu sama lain. Mereka mengakui perbezaan amat jelas antara sebelum melalui dan sesudah melalui aktiviti Pengenalan Diri. Rakan-rakan mengakui juga bahawa semakin tinggi darjah perkenalan dengan orang lain, semakin tinggi darjah kemesraan dan keyakinan diantaranya.

Dalam perbincangan ini, saya ketengahkan contoh tentang seorang anak yang cukup rasa selesa dan selamat bersama ibubapanya kerana darjah mengenali antara mereka amat tinggi. Demikian juga dengan perasaan seorang ISTERI yang amat selesa dan selamat bersama suami ( walau pun suami itu penakut ) kerana amat memahami dan mengenali antara mereka.

3. ULASAN

Dengan respon dan hujah yang diberikan oleh rakan peserta, saya menggunakan ‘Tingkap Johari’ untuk membuat sedikit ulasan. Tingkap Johari terbahagi kepada 4 bahagian. Bahagian pertama dikenali sebagai “aku tahu dan kamu tahu”. Bahagian kedua, “aku tahu tapi kamu tidak tahu”. Bahagian ketiga ialah “aku tidak tahu tapi kamu tahu”. Bahagian keempat “aku tidak tahu dan kamu tidak tahu”. Soal “tahu” dan “tidak tahu” adalah merujuk kepada latarbelakang peserta masing-masing dalam kumpulan.

Bahagian pertama adalah berkaitan dengan perkara luaran seperti warna baju yang dipakai, warna kulit, tahi lalat di muka, cincin di jari dan sebagainya. Bahagian kedua pula berkaitan dengan latarbelakang peribadi seperti bilangan adik-beradik, sudah kahwin atau belum, berapa anak dan isteri serta namanya, berasal dari mana, makanan kegemaran, hobi dan sebagainya. Bahagian ketiga lebih banyak menjurus kepada soal sikap dan perwatakan seperti penyabar, sombong, jujur, tolak ansur, pemarah dan sebagainya. Akhir sekali bahagian keempat. Ia meliputi soal jodoh dan perkahwinan, ajal dan maut dan sebagainya.

Dalam proses pengenalan diri, bahagian pertama, kedua dan ketiga akan semakin membesar. Pada tahap maksima dan ideal, bahagian kedua dan ketiga akan menjadi bahagian pertama semuanya ( aku tahu dan kamu tahu ). Ini bergantung kepada darjah saling mengenali dan komunikasi antara mereka. Serentak dengan itu juga, bahagian keempat akan semakin mengecil iaitu hanya soal jodoh dan mati ( hanya tuhan yang tahu ). Proses daripada “tidak tahu” kepada “tahu” itu mungkin berlaku secara sedar atau tidak sedar dan langsung atau tidak langsung. Ia lebih mudah berlaku melalui penaakulan REFLEKTIF dan BANDING BEZA di kalangan kita ( peserta )

Secara keseluruhannya, proses PENGENALAN DIRI itu seterusnya perlu diaplikasikan ke DALAM DIRI secara individu. Saya gariskan TIGA TAHAP pengenalan diri yang membawa kepada MENGENALI DIRI masing-masing. Tahap pertama adalah proses mengenali diri secara LUARAN atau FIZIKAL. Tahap kedua pula ialah proses mengenali diri dari segi AKHLAK dan SIKAP. Tahap ketiga adalah proses muhasabah diri untuk mengenali POTENSI dan KELEMAHAN DIRI.

Melalui tiga tahap ini, mungkin akan menjadikan kita insan yang tahu bersyukur terhadap nikmat PENCIPTA serta menjaga dan menghargai kesihatan yang ada. Mengenali baik buruk akhlak dan sikap diri, mungkin memudahkan kita mencari dan mengambil POSISI yang sesuai dalam pelbagai situasi. Dengan mengenali potensi dan kelemahan diri pula, mungkin kitalah “MANUSIA” yang sentiasa SUKSES dalam apa jua lapangan yang diceburi. InsyaAllah….


( NOTA : Mohon maaf kepada rakan kelompok perbincangan aktiviti ini, ada sedikit pengubahsuaian daripada perbincangan asal. Bagaimana pun idea utama adalah ilham daripada perbincangan tersebut. Terima kasih atas percambahan ilmu dengan kalian. Semoga berjaya )

Friday, 6 March 2009

MELAKAR POTRET IBU



1. AKTIVITI

Peserta terdiri daripada pelajar tingkatan 3 dengan bilangan seramai 11 orang. Aktiviti dimulakan dengan sedikit Ice Breaking. Setiap peserta diberikan sehelai kertas A4 yang kosong. Saya bertanya kepada peserta, adakah ibu mereka masih hidup buat masa ini ? Alhamdulillah, semuanya masih berada di alam nyata. Peserta diminta duduk berasingan dalam bilik perbincangan. Saya memberikan arahan agar semua peserta melakar potret ibu masing-masing pada sehelai kertas putih yang diberikan. Saya juga meminta agar mereka membuat lakaran tercantik dan sebaik-baiknya menyerupai wajah sebenar ibu mereka. Aktiviti ini di pilih setelah mendapat maklumat daripada penyelaras tentang latarbelakang peserta yang sedikit bermasalah disiplin. Semasa peserta melaksanakan tugasan ini, saya memerhati secara on-off agar karektor sebenar peserta terpamer semasa mengikuti aktiviti ini.

2. PERBINCANGAN

Aktiviti melakar potret ibu bukanlah satu-satunya aktiviti yang mujarab untuk menangani pelajar yang bermasalah disiplin. Saya memilihnya atas pandangan dan cadangan rakan. Lalu saya merasakan sesuai atas perkiraan kedudukan seorang ibu yang cukup tinggi di hati seorang anak. Semasa aktiviti berlangsung, beberapa situasi dan tingkahlaku peserta yang agak mengecewakan dan sedikit menimbulkan rasa sakit hati. Ada di antara mereka yang melakar sambil lewa sehingga sekali-sekala tertidur. Sementara dua tiga orang peserta sambil bergelak-ketawa serta sekali-sekala mengganggu rakan yang lain. 10 daripada 11 orang peserta membuat lakaran ala kadar dan sengaja melakar rupa paras seorang ibu yang tidak sepatutnya. Mereka sedikit pun tidak rasa tersentuh dengan aktiviti ini.

Setelah masa yang diberikan mencukupi, saya kutip semua lakaran yang mereka buat lalu saya paparkan satu demi satu kepada mereka sambil bertanya, adakah ini menghampiri rupa paras ibu mereka ? sebagaimana yang saya ramalkan, sudah tentu tidak dan jauh dari rupa paras yang sebenar. Malah ada lagi yang menambah lakaran yang bukan-bukan. Oleh kerana masa yang semakin suntuk, saya tidak sempat menanjangkan perbincangan dengan mereka. Dengan tindakan spontan dan muka serius, saya renyuk dan koyakkan semua lakaran itu dihadapan mereka sambil melontarkan persoalan, “inikah balasan yang ditunjukkan oleh seorang anak pada ibunya ? peserta terpegun melihat tindakan spontan dan nampak seolah-olah mara. Situasi seperti ini sengaja diwujudkan memandangkan ini adalah slot terakhir bersama mereka dan setelah pendekatan lembut dan membelai tidak memberi kesan kepada mereka.

IBU adalah insan yang teramat mulia dalam hidup seorang anak. Bermula dengan tanggungjawab “mengandung” kita selama sembilan bulan sehinggalah kepada kepayahan dan kesengsaraan melahirkan kita. Tidak cukup dengan itu, pada usia bayi dan ibu masih dalam pantang, kepayahan masih dirasai dengan kekadang berjaga malam demi menjaga anak agar membesar dengan baik dan sihat. Akhirnya adik-adik peserta berada pada usia kini. Dalam pada itu, tanggungjawab memberi kasih sayang, pakaian dan makan minum tetap ditunaikan walaupun cabaran mencari nafkah di lapangan hidup amat memcabar. Saya berkongsi pengalaman ini bersama adik-adik kerana saya semakin faham dan lebih mengerti setelah bergelar ayah. Yakinlah adik-adik, tiada tolok bandingnya nilai seorang anak pada ibu dan ayah. Tapi mengapa sering kali anak memberikan balasan yang tidak setimpal terhadap jasa dan pengorbanan ibu dan ayah. Di mana kamu letak ibu dalam hidup kamu kalau sekadar melakar potretnya, kamu mempersendakanya. Ibu akan rasa terguris dan risau jika mendengar dan mengetahui tentang masalah anaknya. Tapi bagaimana dengan kita ? sedikit pun adik-adik tidak rasa bersalah dan tersentuh dengan mempersendakan lakaran potret ibu. Layakkah kita digelar anak sedangkan kita mempersendakannya ? mungkin adik-adik tidak dapat menilainya kerana insan itu masih berada di sisi kalian dan renungkan sendiri kiranya mereka telah menyahut panggilan ilahi !

3. ULASAN

Daripada reaksi adik-adik, saya melihat satu keinsafan dan kesedaran tentang jasa dan pengorbanan ibu dan ayah ( ada yang menitiskan air mata ). Saya harap dan doakan agar adik-adik sentiasa menghormati dan menghargai insan bergelar ibu. Mereka tidak mengharapkan balasan berupa wang ringgit dan harta benda. Ibu bapa hanya mengharapkan anak-anaknya berjaya dalam bidang akademik serta punya akhlak yang baik. Bagi mereka, hadiah yang paling berharga adalah anak yang soleh dan solehah sebagai kebanggaan di dunia dan bekal di akhirat. Adik-adik masih belum terlambat untuk mengubah segalanya. Ruang masih ada untuk adik-adik memperbaiki diri khususnya dalam bidang akademik dan sahsiah. Berilah peluang ibu dan ayah merasa bangga dan bahagia melihat kejayaan anda, senangkanlah hati mereka.

Adik-adik sekalian, aktiviti ini hanyalah satu simulasi kehidupan. Kesilapan yang adik-adik lakukan adalah pengajaran semata-mata. Pastinya kesilapan ini janganlah berlaku dalam realiti kehidupan anda. Sayangilah ibu, sayangilah ayah. Mohon maaf pada mereka serta cuimlah tangannya. Bertekadlah dalam diri untuk menjadi anak yang soleh dan solehah. Terokailah kesilapan dan kelemahan diri dan kikislah ia dari diri adik-adik. Betulkan niat adik-adik terhadap ibu dan ayah, insyaAllah kejayaan akan menjadi milik anda. Akhirul kalam, saya mohon maaf pada adik-adik jika terlanjur kata terkasar bahasa. Mungkin terpaksa dilakukan demi niat yang murni terhadap adik-adik. Semoga berjaya dalam peperiksaan dan menjadi anak yang soleh dan solehah.

Wednesday, 25 February 2009

PERBEZAAN PERSONALITI DIRI

1. AKTIVITI

Dalam slot ini, para peserta ditunjukkan gambarajah bulatan, segitiga sama sisi, segiempat sama dan lakaran berbentuk ombak. Dengan bilangan peserta seramai 11 orang, mereka di minta memilih salah satu bentuk berasaskan pilihan masing-masing. Setelah mengenalpasti pilihan peserta, ternyata berlaku kepelbagaian pilihan di kalangan mereka. Untuk lebih jelas, setiap peserta di minta menjelaskan asas pilihan masing-masing dan secara umumnya pilihan itu lebih merujuk kepada soal prinsip dan sikap mereka. Ini jelas, setelah cuba diprovokasi untuk mengubah pilihan, mereka tidak berganjak kerana takut dikatakan tidak berpendirian. Antara yang dapat dinukilkan, segi empat itu dikaitkan dengan keteguhan prinsip. Segi tiga pula dikaitkan dengan matlamat dan cita-cita yang jitu dan bentuk bulatan sebagai satu tekad yang bulat.

2. PERBINCANGAN

Setelah berlaku proses perkongsian pendapat dengan peserta, akhirnya saya menjelaskan bahawa bentuk-bentuk yang mereka pilih itu lebih merujuk kepada personaliti diri. Dari segi interpretasinya, individu yang memilih bentuk segi tiga adalah berwawasan, bercita-cita tinggi serta berusaha untuk mencapainya, rajin dan bersungguh-sungguh serta sanggup meninggalkan kawan demi mencapai cita-cita. Segi empat, adalah individu yang sangat logical, mengutamakan maklumat terperinci berbanding khabar angin, adil dan saksama, mengutamakan panduan dan peraturan, lebih objektif dan tidak emosional. Peserta yang memilih bentuk bulatan pula mempunyai personaliti mementingkan keharmonian, selesa bergaul dan mempunyai ramai kawan, mudah memahami perasaan orang dan mempunyai kemahiran intarpersonal. Bentuk ombak, individu yang mempunyai minat yang pelbagai, serba boleh dan fleksibel, tidak suka kepada rutin dan berjadual dan sebaliknya suka kepada kebebasan.

Berdasarkan interpretasi di atas, mungkin banyak persoalan atau keraguan tentang ketepatannya. Namun seperti yang dinyatakan kepada para peserta, dalam perbincangan ini, saya tidak berminat untuk memberi fokus yang mendalam berkaitan personaliti. Antara natijah yang saya ambil perhatian daripada aktiviti ini ialah kepelbagaian personaliti itu membawa kepada selera dan pilihan yang berbeza. Perbezaan di sini merujuk kepada beberapa aspek seperti sikap, pemikiran, tindakan dan termasuk personaliti serta sebarang bentuk perbezaan. Daripada aktiviti yang dijalankan, memang nyata berlaku perbezaan pilihan dikalangan peserta yang menggambarkan perbezaan itu sentiasa wujud di mana-mana. Dengan melihat beberapa personaliti yang kontra berdasarkan pilihan masing-masing, ini mungkin membawa kepada situasi yang tidak harmoni dalam konteks hidup bersama atau bermasyarakat. Adakah saudara-saudari selesa dengan situasi seperti ini ? Rakan saya dalam kelompok ini sepakat untuk tidak bersetuju dengan situasi yang tidak harmoni itu. Namun keharmonian tidak akan tercapai kiranya kita mengharapkan orang lain berperwatakan seperti kita atau sebaliknya.


3. ULASAN

Dalam dilema antara perbezaan watak dan keharmonian bermasyarakat, pilihan muktamad haruslah keharmonian. Ini bermakna, harus ada pengubahsuaian pada perwatakan atau perbezaan yang wujud untuk mendapatkan titik tengahnya. Sebagai satu analogi, si A sukar untuk berkawan dengan si B kerana perwatakan banyak berbeza dan masing-masing cuba untuk mempertahankannya. Dalam 10 perwatakan A dan B, hanya 5 yang mempunyai persamaan. Oleh itu, sekiranya A dan B ingin berkawan, mereka harus mengabaikan 5 lagi perwatakan yang tidak serasi itu dan berkongsi 5 perwatakan yang sama. Dengan ini mereka boleh berkawan dengan mudah. Suami isteri yang dibesarkan di bawah bumbung yang berbeza akhirnya hidup bahagia atas kesediaan mengubahsuai perwatakan dan personaliti masing-masing untuk mendapatkan titik tengah antara keduanya. Bagaimana pun, pengubahsuaian personaliti itu harus terkawal dalam lingkungan kita sebagai manusia yang beragama, waras serta tidak mengorbankan matlamat dan prinsip hidup yang murni. Janganlah mengharapkan ‘orang ramai menjadi’ seperti kita, tetapi berusaha untuk ‘menjadi ramai orang’ dan ‘ramai orang’ itu adalah orang-orang yang baik.

( NOTA : Mohon maaf kepada rakan kelompok perbincangan aktiviti ini, ada sedikit pengubahsuaian daripada perbincangan asal. Bagaimana pun idea utama adalah ilham daripada perbincangan tersebut. Terima kasih atas percambahan ilmu dengan kalian. Semoga berjaya )