Tuesday 10 February 2009

KEBEBASAN...........


Kebebasan adalah suatu yang sangat subjektif untuk ditafsir atau didefinasikan. Walaupun terdapat definasi khusus dari segi bahasa. Namun tafsirannya seringkali mencapah mengikut kepelbagaian dimensi pemikiran manusia. Perdebatan mengenai perkara ini selalunya sukar untuk menemui titik temu dikalangan individu yang terlibat. Jika ia menemui titik persefahaman, mungkin ia hanya melibatkan kelompok tertentu dan tidak diterima oleh pihak yang lain atau mungkin sementara sifatnya. Akhirnya tafsiran itu kembali kepada keadaan awal, iaitu bersifat subjektif.

Jika kita mendengar perbualan atau perbincangan mana-mana kumpulan mengenai perkara ini, rasanya kita akan temui pelbagai pandangan yang berbeza. Kebebasan bagi seorang anak biasanya bercanggah dengan kehendak ibubapa. Demikian juga bagi wanita yang bercanggah dengan lelaki, murid dengan guru, majikan dengan pekerja, ketua dengan pengikut atau sebagainya. Jika diperhalusi, percanggahan yang timbul ini mungkin kerana tafsiran kebebasan itu lebih cenderung dan dipengaruhi oleh kehendak dan kepentingan individu atau kumpulan tertentu. Oleh itu, kebebasan dan tafsiran kebebasan seperti ini bukanlah suatu yang mutlak kerana adanya pengaruh lain.

Daripada perbincangan singkat di atas, mungkin wujud suatu gambaran bahawa kebebasan itu sebenarnya tidak ada. Ini kerana kebebasan seorang peniaga adalah dipengaruhi oleh untung, Kebebasan seorang anak dipengaruhi oleh sifat keremajaannya, kebebasan seorang pengikut dipengaruhi oleh perjuangan haknya dan pemimpin dipengaruhi oleh kuasa dan pengaruh.

Untuk mengatakan langsung tiada kebebasan, mungkin ia bercanggah dengan realiti sebenar kehidupan manusia. Sedangkan pada hakikatnya sesetengah manusia merasai kebebasan berlaku dalam hidupnya. Namun dalam kita menggenggam dan mengamal kebebasan yang kita miliki, pastikanlah ia berlandaskan tuntutan agama semata-mata. Amat dibimbangi kebebasan yang dituntut dan dicari itu sebenarnya di pengaruhi oleh nafsu yang tidak baik. Ini bermakna kebebasan yang ditemui sebenarnya dikongkong oleh hawa nafsu semata (sudah tiada kebebasan)

Akhirnya, kebebasan itu sebenarnya terletak pada AKAL YANG WARAS dan HATI YANG TENTERAM. Akal yang waras akan akur pada KEBENARAN MUTLAK dan hati yang tenteram akan bebas daripada pengaruh HAWA NAFSU. Kebebasan seperti ini secara tidak langsung akan meningkatkan daya fikir dan menjadikan kita insan yang tahu akan hak dan tanggungjawab masing-masing. Inilah namanya KEBEBASAN HAKIKI yang harus mendasari pemikiran dan tindakan dalam kehidupan seharian. Semoga kejayaan yang luhur menjadi milik kita.

1 comment:

Amin said...

Tahniah Yani. Blog inilah yang saya nantikan. Saya turut gembira dan bangga dengan tekad dan semangat sd. untuk memulakan blog. Bukan mudah tapi suatu permulaan yang baik. Teruskan usaha bermanfaat dan murni ini. salam.