Wednesday 25 February 2009

PERBEZAAN PERSONALITI DIRI

1. AKTIVITI

Dalam slot ini, para peserta ditunjukkan gambarajah bulatan, segitiga sama sisi, segiempat sama dan lakaran berbentuk ombak. Dengan bilangan peserta seramai 11 orang, mereka di minta memilih salah satu bentuk berasaskan pilihan masing-masing. Setelah mengenalpasti pilihan peserta, ternyata berlaku kepelbagaian pilihan di kalangan mereka. Untuk lebih jelas, setiap peserta di minta menjelaskan asas pilihan masing-masing dan secara umumnya pilihan itu lebih merujuk kepada soal prinsip dan sikap mereka. Ini jelas, setelah cuba diprovokasi untuk mengubah pilihan, mereka tidak berganjak kerana takut dikatakan tidak berpendirian. Antara yang dapat dinukilkan, segi empat itu dikaitkan dengan keteguhan prinsip. Segi tiga pula dikaitkan dengan matlamat dan cita-cita yang jitu dan bentuk bulatan sebagai satu tekad yang bulat.

2. PERBINCANGAN

Setelah berlaku proses perkongsian pendapat dengan peserta, akhirnya saya menjelaskan bahawa bentuk-bentuk yang mereka pilih itu lebih merujuk kepada personaliti diri. Dari segi interpretasinya, individu yang memilih bentuk segi tiga adalah berwawasan, bercita-cita tinggi serta berusaha untuk mencapainya, rajin dan bersungguh-sungguh serta sanggup meninggalkan kawan demi mencapai cita-cita. Segi empat, adalah individu yang sangat logical, mengutamakan maklumat terperinci berbanding khabar angin, adil dan saksama, mengutamakan panduan dan peraturan, lebih objektif dan tidak emosional. Peserta yang memilih bentuk bulatan pula mempunyai personaliti mementingkan keharmonian, selesa bergaul dan mempunyai ramai kawan, mudah memahami perasaan orang dan mempunyai kemahiran intarpersonal. Bentuk ombak, individu yang mempunyai minat yang pelbagai, serba boleh dan fleksibel, tidak suka kepada rutin dan berjadual dan sebaliknya suka kepada kebebasan.

Berdasarkan interpretasi di atas, mungkin banyak persoalan atau keraguan tentang ketepatannya. Namun seperti yang dinyatakan kepada para peserta, dalam perbincangan ini, saya tidak berminat untuk memberi fokus yang mendalam berkaitan personaliti. Antara natijah yang saya ambil perhatian daripada aktiviti ini ialah kepelbagaian personaliti itu membawa kepada selera dan pilihan yang berbeza. Perbezaan di sini merujuk kepada beberapa aspek seperti sikap, pemikiran, tindakan dan termasuk personaliti serta sebarang bentuk perbezaan. Daripada aktiviti yang dijalankan, memang nyata berlaku perbezaan pilihan dikalangan peserta yang menggambarkan perbezaan itu sentiasa wujud di mana-mana. Dengan melihat beberapa personaliti yang kontra berdasarkan pilihan masing-masing, ini mungkin membawa kepada situasi yang tidak harmoni dalam konteks hidup bersama atau bermasyarakat. Adakah saudara-saudari selesa dengan situasi seperti ini ? Rakan saya dalam kelompok ini sepakat untuk tidak bersetuju dengan situasi yang tidak harmoni itu. Namun keharmonian tidak akan tercapai kiranya kita mengharapkan orang lain berperwatakan seperti kita atau sebaliknya.


3. ULASAN

Dalam dilema antara perbezaan watak dan keharmonian bermasyarakat, pilihan muktamad haruslah keharmonian. Ini bermakna, harus ada pengubahsuaian pada perwatakan atau perbezaan yang wujud untuk mendapatkan titik tengahnya. Sebagai satu analogi, si A sukar untuk berkawan dengan si B kerana perwatakan banyak berbeza dan masing-masing cuba untuk mempertahankannya. Dalam 10 perwatakan A dan B, hanya 5 yang mempunyai persamaan. Oleh itu, sekiranya A dan B ingin berkawan, mereka harus mengabaikan 5 lagi perwatakan yang tidak serasi itu dan berkongsi 5 perwatakan yang sama. Dengan ini mereka boleh berkawan dengan mudah. Suami isteri yang dibesarkan di bawah bumbung yang berbeza akhirnya hidup bahagia atas kesediaan mengubahsuai perwatakan dan personaliti masing-masing untuk mendapatkan titik tengah antara keduanya. Bagaimana pun, pengubahsuaian personaliti itu harus terkawal dalam lingkungan kita sebagai manusia yang beragama, waras serta tidak mengorbankan matlamat dan prinsip hidup yang murni. Janganlah mengharapkan ‘orang ramai menjadi’ seperti kita, tetapi berusaha untuk ‘menjadi ramai orang’ dan ‘ramai orang’ itu adalah orang-orang yang baik.

( NOTA : Mohon maaf kepada rakan kelompok perbincangan aktiviti ini, ada sedikit pengubahsuaian daripada perbincangan asal. Bagaimana pun idea utama adalah ilham daripada perbincangan tersebut. Terima kasih atas percambahan ilmu dengan kalian. Semoga berjaya )

No comments: