Friday 6 March 2009

MELAKAR POTRET IBU



1. AKTIVITI

Peserta terdiri daripada pelajar tingkatan 3 dengan bilangan seramai 11 orang. Aktiviti dimulakan dengan sedikit Ice Breaking. Setiap peserta diberikan sehelai kertas A4 yang kosong. Saya bertanya kepada peserta, adakah ibu mereka masih hidup buat masa ini ? Alhamdulillah, semuanya masih berada di alam nyata. Peserta diminta duduk berasingan dalam bilik perbincangan. Saya memberikan arahan agar semua peserta melakar potret ibu masing-masing pada sehelai kertas putih yang diberikan. Saya juga meminta agar mereka membuat lakaran tercantik dan sebaik-baiknya menyerupai wajah sebenar ibu mereka. Aktiviti ini di pilih setelah mendapat maklumat daripada penyelaras tentang latarbelakang peserta yang sedikit bermasalah disiplin. Semasa peserta melaksanakan tugasan ini, saya memerhati secara on-off agar karektor sebenar peserta terpamer semasa mengikuti aktiviti ini.

2. PERBINCANGAN

Aktiviti melakar potret ibu bukanlah satu-satunya aktiviti yang mujarab untuk menangani pelajar yang bermasalah disiplin. Saya memilihnya atas pandangan dan cadangan rakan. Lalu saya merasakan sesuai atas perkiraan kedudukan seorang ibu yang cukup tinggi di hati seorang anak. Semasa aktiviti berlangsung, beberapa situasi dan tingkahlaku peserta yang agak mengecewakan dan sedikit menimbulkan rasa sakit hati. Ada di antara mereka yang melakar sambil lewa sehingga sekali-sekala tertidur. Sementara dua tiga orang peserta sambil bergelak-ketawa serta sekali-sekala mengganggu rakan yang lain. 10 daripada 11 orang peserta membuat lakaran ala kadar dan sengaja melakar rupa paras seorang ibu yang tidak sepatutnya. Mereka sedikit pun tidak rasa tersentuh dengan aktiviti ini.

Setelah masa yang diberikan mencukupi, saya kutip semua lakaran yang mereka buat lalu saya paparkan satu demi satu kepada mereka sambil bertanya, adakah ini menghampiri rupa paras ibu mereka ? sebagaimana yang saya ramalkan, sudah tentu tidak dan jauh dari rupa paras yang sebenar. Malah ada lagi yang menambah lakaran yang bukan-bukan. Oleh kerana masa yang semakin suntuk, saya tidak sempat menanjangkan perbincangan dengan mereka. Dengan tindakan spontan dan muka serius, saya renyuk dan koyakkan semua lakaran itu dihadapan mereka sambil melontarkan persoalan, “inikah balasan yang ditunjukkan oleh seorang anak pada ibunya ? peserta terpegun melihat tindakan spontan dan nampak seolah-olah mara. Situasi seperti ini sengaja diwujudkan memandangkan ini adalah slot terakhir bersama mereka dan setelah pendekatan lembut dan membelai tidak memberi kesan kepada mereka.

IBU adalah insan yang teramat mulia dalam hidup seorang anak. Bermula dengan tanggungjawab “mengandung” kita selama sembilan bulan sehinggalah kepada kepayahan dan kesengsaraan melahirkan kita. Tidak cukup dengan itu, pada usia bayi dan ibu masih dalam pantang, kepayahan masih dirasai dengan kekadang berjaga malam demi menjaga anak agar membesar dengan baik dan sihat. Akhirnya adik-adik peserta berada pada usia kini. Dalam pada itu, tanggungjawab memberi kasih sayang, pakaian dan makan minum tetap ditunaikan walaupun cabaran mencari nafkah di lapangan hidup amat memcabar. Saya berkongsi pengalaman ini bersama adik-adik kerana saya semakin faham dan lebih mengerti setelah bergelar ayah. Yakinlah adik-adik, tiada tolok bandingnya nilai seorang anak pada ibu dan ayah. Tapi mengapa sering kali anak memberikan balasan yang tidak setimpal terhadap jasa dan pengorbanan ibu dan ayah. Di mana kamu letak ibu dalam hidup kamu kalau sekadar melakar potretnya, kamu mempersendakanya. Ibu akan rasa terguris dan risau jika mendengar dan mengetahui tentang masalah anaknya. Tapi bagaimana dengan kita ? sedikit pun adik-adik tidak rasa bersalah dan tersentuh dengan mempersendakan lakaran potret ibu. Layakkah kita digelar anak sedangkan kita mempersendakannya ? mungkin adik-adik tidak dapat menilainya kerana insan itu masih berada di sisi kalian dan renungkan sendiri kiranya mereka telah menyahut panggilan ilahi !

3. ULASAN

Daripada reaksi adik-adik, saya melihat satu keinsafan dan kesedaran tentang jasa dan pengorbanan ibu dan ayah ( ada yang menitiskan air mata ). Saya harap dan doakan agar adik-adik sentiasa menghormati dan menghargai insan bergelar ibu. Mereka tidak mengharapkan balasan berupa wang ringgit dan harta benda. Ibu bapa hanya mengharapkan anak-anaknya berjaya dalam bidang akademik serta punya akhlak yang baik. Bagi mereka, hadiah yang paling berharga adalah anak yang soleh dan solehah sebagai kebanggaan di dunia dan bekal di akhirat. Adik-adik masih belum terlambat untuk mengubah segalanya. Ruang masih ada untuk adik-adik memperbaiki diri khususnya dalam bidang akademik dan sahsiah. Berilah peluang ibu dan ayah merasa bangga dan bahagia melihat kejayaan anda, senangkanlah hati mereka.

Adik-adik sekalian, aktiviti ini hanyalah satu simulasi kehidupan. Kesilapan yang adik-adik lakukan adalah pengajaran semata-mata. Pastinya kesilapan ini janganlah berlaku dalam realiti kehidupan anda. Sayangilah ibu, sayangilah ayah. Mohon maaf pada mereka serta cuimlah tangannya. Bertekadlah dalam diri untuk menjadi anak yang soleh dan solehah. Terokailah kesilapan dan kelemahan diri dan kikislah ia dari diri adik-adik. Betulkan niat adik-adik terhadap ibu dan ayah, insyaAllah kejayaan akan menjadi milik anda. Akhirul kalam, saya mohon maaf pada adik-adik jika terlanjur kata terkasar bahasa. Mungkin terpaksa dilakukan demi niat yang murni terhadap adik-adik. Semoga berjaya dalam peperiksaan dan menjadi anak yang soleh dan solehah.

No comments: