Wednesday 25 March 2009

PENGENALAN DIRI / SELF INTRO







1. AKTIVITI

Slot dimulakan dengan bacaan Al-fatihah. Peserta seramai 7 orang yang terdiri daripada kakitangan hospital, guru dan seorang kakitangan imagrisen. Sesi seperti ini adalah pengalaman pertama bagi semua rakan peserta. Setelah sedikit ice breaking dilakukan, saya teruskan sesi dengan menjelaskan tentang aktiviti perbincangan yang akan dijalankan. Bagi manfaat bersama, saya ketengahkan juga ETIKA-ETIKA perbincangan agar hasil yang diperolehi memberi pulangan yang bermakna untuk semua.

Untuk memulakan aktiviti, saya memperkenalkan diri ( nama, asal dan pekerjaan ) dan diikuti dengan rakan peserta untuk item yang sama. Pada pusingan kedua, saya sekali lagi memperkenalkan diri kepada rakan peserta. Kali ini mereka diberi peluang seluas-luasnya mengemukakan pertanyaan tentang latarbelakang atau apa sahaja yang dirasakan perlu untuk ditanya. Selesai giliran saya, semua rakan peserta melalui proses yang sama secara bergilir-gilir.

2. PERBINCANGAN

Setelah semuanya mengambil bahagian, saya meminta respon rakan peserta tentang PERASAAN mereka setelah melalui sesi PENGENALAN DIRI. Antara jawapan yang diberikan ialah timbulnya rasa selesa berada dalam kumpulan kerana semakin wujud rasa kemesraan, keyakinan, kekitaan dan mulai saling memahami antara satu sama lain. Mereka mengakui perbezaan amat jelas antara sebelum melalui dan sesudah melalui aktiviti Pengenalan Diri. Rakan-rakan mengakui juga bahawa semakin tinggi darjah perkenalan dengan orang lain, semakin tinggi darjah kemesraan dan keyakinan diantaranya.

Dalam perbincangan ini, saya ketengahkan contoh tentang seorang anak yang cukup rasa selesa dan selamat bersama ibubapanya kerana darjah mengenali antara mereka amat tinggi. Demikian juga dengan perasaan seorang ISTERI yang amat selesa dan selamat bersama suami ( walau pun suami itu penakut ) kerana amat memahami dan mengenali antara mereka.

3. ULASAN

Dengan respon dan hujah yang diberikan oleh rakan peserta, saya menggunakan ‘Tingkap Johari’ untuk membuat sedikit ulasan. Tingkap Johari terbahagi kepada 4 bahagian. Bahagian pertama dikenali sebagai “aku tahu dan kamu tahu”. Bahagian kedua, “aku tahu tapi kamu tidak tahu”. Bahagian ketiga ialah “aku tidak tahu tapi kamu tahu”. Bahagian keempat “aku tidak tahu dan kamu tidak tahu”. Soal “tahu” dan “tidak tahu” adalah merujuk kepada latarbelakang peserta masing-masing dalam kumpulan.

Bahagian pertama adalah berkaitan dengan perkara luaran seperti warna baju yang dipakai, warna kulit, tahi lalat di muka, cincin di jari dan sebagainya. Bahagian kedua pula berkaitan dengan latarbelakang peribadi seperti bilangan adik-beradik, sudah kahwin atau belum, berapa anak dan isteri serta namanya, berasal dari mana, makanan kegemaran, hobi dan sebagainya. Bahagian ketiga lebih banyak menjurus kepada soal sikap dan perwatakan seperti penyabar, sombong, jujur, tolak ansur, pemarah dan sebagainya. Akhir sekali bahagian keempat. Ia meliputi soal jodoh dan perkahwinan, ajal dan maut dan sebagainya.

Dalam proses pengenalan diri, bahagian pertama, kedua dan ketiga akan semakin membesar. Pada tahap maksima dan ideal, bahagian kedua dan ketiga akan menjadi bahagian pertama semuanya ( aku tahu dan kamu tahu ). Ini bergantung kepada darjah saling mengenali dan komunikasi antara mereka. Serentak dengan itu juga, bahagian keempat akan semakin mengecil iaitu hanya soal jodoh dan mati ( hanya tuhan yang tahu ). Proses daripada “tidak tahu” kepada “tahu” itu mungkin berlaku secara sedar atau tidak sedar dan langsung atau tidak langsung. Ia lebih mudah berlaku melalui penaakulan REFLEKTIF dan BANDING BEZA di kalangan kita ( peserta )

Secara keseluruhannya, proses PENGENALAN DIRI itu seterusnya perlu diaplikasikan ke DALAM DIRI secara individu. Saya gariskan TIGA TAHAP pengenalan diri yang membawa kepada MENGENALI DIRI masing-masing. Tahap pertama adalah proses mengenali diri secara LUARAN atau FIZIKAL. Tahap kedua pula ialah proses mengenali diri dari segi AKHLAK dan SIKAP. Tahap ketiga adalah proses muhasabah diri untuk mengenali POTENSI dan KELEMAHAN DIRI.

Melalui tiga tahap ini, mungkin akan menjadikan kita insan yang tahu bersyukur terhadap nikmat PENCIPTA serta menjaga dan menghargai kesihatan yang ada. Mengenali baik buruk akhlak dan sikap diri, mungkin memudahkan kita mencari dan mengambil POSISI yang sesuai dalam pelbagai situasi. Dengan mengenali potensi dan kelemahan diri pula, mungkin kitalah “MANUSIA” yang sentiasa SUKSES dalam apa jua lapangan yang diceburi. InsyaAllah….


( NOTA : Mohon maaf kepada rakan kelompok perbincangan aktiviti ini, ada sedikit pengubahsuaian daripada perbincangan asal. Bagaimana pun idea utama adalah ilham daripada perbincangan tersebut. Terima kasih atas percambahan ilmu dengan kalian. Semoga berjaya )

No comments: