Friday 23 January 2009

DI SEBALIK SETIAP KEJAYAAN


Dalam melayari hidup seharian, pasti dikalangan kita pernah mengecapi kejayaan. Mungkin skalanya saja yang berbeza-beza. Ada kejayaan besar, sedang-sedang dan kecil. Namun kecil besarnya suatu kejayaan lebih bergantung pada tahap keinginan dan keperluan seseorang. Kejayaan besar bagi seorang yang amat mengimpikan computer riba ialah bila dia dapat memilikinya. Dalam situasi kita berjaya memperolehi apa yang kita impikan, pastinya kita akan rasa cukup gembira dan bahagia.

Apa saja hajat yang kita impikan dan tercapai, itu semuanya adalah kejayaan dan tahniah untuk itu semua. Namun, tanpa menafikan daya usaha sendiri dalam mengecapi kejayaan, sebenarnya banyak perkara di sebalik setiap kejayaan yang kita perolehi. Rasanya ia amat berkait rapat dengan nikmat Allah dan peranan individu-individu tertentu dalam hidup kita.Umum mengetahui bahawa manusia adalah ciptaan Allah. Ini termasuklah apa sahaja yang ada pada tubuh manusia. Manusia yang dikatakan berjaya itu wujud secara fizikalnya kerana Allah. Tiada kejayaan disebut bagi manusia yang belum pernah lahir ke dunia. Ini bermakna, kejayaan itu sebenarnya datang daripada Pencipta.

Adakah ibu dan ayah punya peranan dalam setiap kejayaan yang kita kecapi ? semoga kita sekata mengatakan ‘ya’. Pada usia kini, kebanyakan perkara kita boleh lakukan sendiri termasuk mencapai kejayaan. Tapi kalau kita renungkan pada usia bayi, kita hanya tahu menggeliat dan menangis di samping kemahiran semulajadi yang Allah berikan. Pada usia ini hampir segala-galanya ibu dan ayah yang lakukan untuk kita. Ini termasuklah soal makan minum, pakaian dan keselamatan serta kasih sayang. Di bawah paras kematangan akal, ibu dan ayah membantu kita untuk memilih baik buruk suatu perkara untuk kita. Dengan lorong kehidupan yang di rintis oleh ibu dan ayah, kita berada seperti pada hari ini. Ini bermakna, apa saja kejayaan yang kita kecapi, benih awalnya adalah datang dari daya usaha ibu dan ayah. Belum lagi cerita susah payah mereka membesarkan kita. Kesanggupan ibu melahirkan kita pada usia sembilan bulan sudah merupakan satu pengorbanan yang terlalu besar. “Buat ibu dan ayah, setiap inci kejayaan yang ku perolehi, akan ku persembahkan sebagai hadiah yang berharga dariku sebagai anak”.

Selain berfungsi sebagai anak, mungkin ramai dikalangan kita yang bergelar abang, kakak atau adik. Dengan gelaran ini, bermakna kita punya peranan dan tanggungjawab kepada abang, kakak dan adik serta langsung terhadap ibubapa. Oleh itu, jumlah masa yang digunakan untuk mengejar impian makin kecil dan sedikit menggugat perancangan. Namun atas toleransi adik-beradik, beberapa fungsi dan tanggungjawab yang sepatutnya kita laksanakan diberi pengecualian. Malah kerja-kerja peribadi kita turut dibantu. Mereka faham akan hasrat yang kita impikan dan lebih jauh daripada itu, mereka turut bangga dengan setiap kejayaan yang kita perolehi. Dengan abang, kakak dan adik membantu, faham dan bangga terhadap kejayaan kita, bermakna mereka punyai saham dalam kejayaan yang kita kecapi. Demikian juga buat isteri/suami dan anak-anak, mereka punya peranan yang tidak kurang pentingnya dalam setiap kejayaan yang kita kecapi.

Bagi mereka yang pernah melalui alam persekolahan hingga ke menara gading, pasti terkenang akan jasa guru-guru dan para pensyarah yang pernah mendidik kita. Kalau pun kita tidak berjaya dalam bidang akademik, sekurang-kurangnya mereka telah membantu kita dari segi berfikir. Bagaimana dengan peranan rakan-rakan ? Rasanya mereka juga punyai peranan dalam membantu setiap kejayaan yang kita kecapi. Sekurang-kurangnya mungkin hanya berbentuk sokongan moral atau sebagainya. Soal besar kecilnya peranan mereka terserah pada kita menilainya. Namun pasti tetap ada termasuklah rakan yang meremehkan usaha kita juga, sebenarnya menyumbang kepada kejayaan yang kita kecapi. Akhirnya, siapa sahaja yang ada di sekeliling kita, mereka turut menyumbang kepada kejayaan kita, sama ada langsung atau tidak.

Syukur kepada Allah atas segala nikmatNya. Terima kasih kepada ibu dan ayah, abang, kakak, adik, isteri/suami, anak-anak, para guru dan pensyarah, rakan-rakan dan sesiapa sahaja yang turut membantu setiap kejayaan yang dikecapi. Semoga mendapat balasan yang melimpah ruah atas sokongan dan bantuan yang diberikan sama ada langsung atau tidak.

Monday 12 January 2009

NILAI DAN KEHIDUPAN 3 : POSITIF ATAU NEGATIF ???


Sebelum melelapkan mata pada waktu malam,ada kalanya kita teringat peristiwa di siang hari dan seterusnya kita merancang aktiviti atau tindakan pada hari esoknya. Mungkin juga perancangan itu suatu yang baik atau buruk, positif atau negatif, bermanfaat atau mudharat, membawa keamanan atau kehancuran dan sebagainya. Namun semua kemungkinan ini akhirnya hilang buat sementara saat kita telah pun melelapkan mata.

Apa bila subuh menjelang tiba, perancangan mulai teringat kembali dan semakin hampir kepada perlaksanaannya. Jika suatu yang dirancang itu baik, positif dan bermanfaat, pastinya mudah untuk mengambil keputusan tentang perlaksanaanya. Tambahan pula, kebanyakan manusia akan menyokong dan mendorong perancangan yang baik dan bermanfaat untuk dilaksanakan. Oleh itu, adalah amat baik dan wajar perancangan seumpama ini direalisasikan dalam aktiviti harian kita.

Sebaliknya, jika perancangan itu suatu yang negative, mudharat dan membawa kepada kehancuran, semestinya ia memerlukan pemerahan otak untuk memikirkan perlaksanaannya. Mungkin mengatakan YA adalah payah dan mengatakan TIDAK pun adalah sukar. Pada peringkat ini, adalah jelas bahawa positif lebih baik daripada negative, manfaat lebih baik daripada mudharat dan keamanan lebih baik daripada kehancuran. Oleh itu, dalam situasi ini, mengubah pemikiran dan perancangan kepada yang positif adalah keputusan yang bijak.

Sebagai manusia biasa, ada ketikanya terpaksa memilih perancangan dan tindakan yang negatif dan memudharatkan dalam aktiviti harian kita. Dalam situasi yang amat rumit ini, adalah kurang bijak sekiranya tidak di usahakan terlebih dahulu perancangan dan tindakan yang positif sebelum melaksanakan tindakan yang negative. Mungkin lebih bijak jika tidak perlu membuat pilihan atau keputusan sekiranya keputusan atau pilihan itu adalah negative. Apa gunanya kita bergerak ke hadapan, jika dosa dan mudharat habuannya. Lebih baik pilihan ini ditangguhkan atau cari saja pilihan lain yang lebih bermanfaaf untuk kehidupan yang abadi. Adalah amat rugi sekiranya memilih tindakan negative untuk dilaksanakan dengan begitu mudah dan mungkin inilah yang dikatakan sebagai kejahatan yang percuma. Amat ngeri dan menakutkan pula sekiranya cara berfikir dan bertindak seperti ini menjadi amalan harian kita. Mungkin benarlah kata orang, anda adalah orang yang berfikiran negative.

Bagaimanapun, dalam apa jua situasi, adalah jelas kebaikan tetap mengatasi keburukan, positif lebih baik daripada negative dan keamanan lebih baik daripada kehancuran. Oleh itu, pilihlah untuk sentiasa berfikir secara positif dan mulakanlah setiap hari kita dengan pemikiran, perancangan dan tindakan yang positif.

Sunday 11 January 2009

NILAI DAN KEHIDUPAN 2 : 0, 1 DAN 2, TAPI 3..........



Dalam setiap pekerjaan yang dilakukan oleh manusia, pastinya mengharapkan hasil atau pulangan yang baik dan memuaskan. Tidak kiralah hasil itu sama ada berupa material atau bukan. Skala hasil atau pulangan itu pula mungkin bertumpu kepada individu itu sendiri atau orang lain, keluarga, masyarakat, agama atau Negara.

Antara usaha dan pulangan ada ketikanya setimpal atau sebaliknya. Dalam situasi yang positif, usaha adalah setimpal dengan pulangan atau melebihi usaha. Sebaliknya dalam keadaan yang kurang baik, pulangan yang diterima adalah sedikit berbanding daya usaha yang dilakukan. Pada ketika inilah biasanya timbul nada-nada kecewa pada individu-individu tertentu. Maka, keluarlah ungkapan seperti “buat apa bekerja lebih kalau hasilnya hanya sedikit, kalau begini lebih baik tiada, penat-penat aku kerja ini saja aku dapat” dan sebagainya.

Secara relatifnya, bilangan atau angka satu itu adalah kecil dan sedikit. Bagaimanpun kita harus sedar, ia adalah jauh lebih baik daripada langsung tiada atau kosong . Tambahan pula, nada-nada yang sumbang itu agak kurang bertepatan dengan peranan manusia yang harus sentiasa menghargai dan mensyukuri setiap pemberian sama ada daripada sesama manusia atau dari penciptanya. Banyak atau sedikit adalah persoalan yang lain.

Mensyukuri sesuatu yang diperolehi bukanlah bermakna menerimanya secara mutlak tanpa sebarang usaha untuk mendapat sesuatu yang lebih baik lagi. Walaupun “ada” itu jauh lebih baik daripada lanngsung tiada, tetapi “banyak” pastinya lebih baik daripada “sedikit”. Dalam konteks ini, ia bukan dirujuk pada persoalan nafsu tamak haloba, tetapi lebih merupakan satu inisiatif untuk mencapai sesuatu yang lebih baik dalam hidup. Pendek kata, bersyukurlah dengan apa yang ada kerana ia lebih baik daripada langsung tiada, tetapi dalam masa yang sama sentiasalah berusaha untuk meningkatkanya.

Lebih baik ada APA-APA daripada langsung tiada APA-APA. Tambah baik lagi kalau APA-APA yang ada itu diAPA-APAkan agar menjadi APA-APA yang lebih baik APA-APA itu apa ? Apa saja yang kita rasa baik untuk diri dan sekitaran kita. 1 sudah jauh lebih baik daripada 0. Tapi lebih baik lagi kalau 1 itu diusahakan menjadi 2. Bagaimana pun kita jangan lupa bahawa ada lagi yang lebih baik daripada 2 iaitu 3. Carilah yang terbaik dalam hidup kita.

Saturday 3 January 2009

NILAI DAN KEHIDUPAN 1 : SEGALANYA KETENTUAN ILAHI

Ungkapan yang berbunyi “Allah menentukan segala-galanya” merupakan satu kenyataan yang amat jelas tentang kekuasaan Allah di muka bumi ini . Tiada satu pun kejadian yang berlaku terkecuali dari ketentuan Allah. Sebagai manusia, hakikat ini tidak harus di terima sebagai pengetahuan sahaja, sebaliknya harus menjadi dasar dalam kehidupan. Ini bermakna, orientasi pemikiran dan tindakan harian manusia harus merasakan kekuasaan Allah ada di mana-mana dan mengatasi segala-galanya.

Dalam penerimaan hakikat ini secara mutlak, harus disedari bahawa kebanyakan suatu yang berlaku itu adalah menjadi rahsia Allah. Perkara ini termasuklah soal rezeki, jodoh, ajal maut dan sebagainya. Bagaimana pun, peringatan, panduan dan tanda-tanda awal telah di berikan terlebih dahulu kepada manusia.

Keyakinan terhadap ketentuan Allah bukan bermakna tidak perlu berusaha kerana semuanya telah ditentukan. Ini agak bercanggah dengan konsep kerahsiaan sesuatu kejadian atau suatu perkara. Pastinya antara hikmah kerahsiaan itu ialah supaya manusia berusaha bersungguh-sungguh dalam setiap pekerjaannya.Keakuran/penerimaan terhadap ketentuan Allah pula secara tidak langsung mendidik manusia untuk berhati-hati dalam setiap tindak-tanduknya atau pekerjaan hariannya agar sentiasa selari dengan kehendak dan perintah Allah.

Memahami dan menerima dua konsep ini akhirnya akan menerbitkan/mendatangkan banyak nilai-nilai positif dalam diri manusia. Pastinya seseorang itu tidak terlalu berdukacita atau berputus asa apabila bertembung dengan kegagalan. Sebaliknya ia tidak merasa angkuh dan sombong apabila mengecapi kejayaan.