Friday 23 January 2009

DI SEBALIK SETIAP KEJAYAAN


Dalam melayari hidup seharian, pasti dikalangan kita pernah mengecapi kejayaan. Mungkin skalanya saja yang berbeza-beza. Ada kejayaan besar, sedang-sedang dan kecil. Namun kecil besarnya suatu kejayaan lebih bergantung pada tahap keinginan dan keperluan seseorang. Kejayaan besar bagi seorang yang amat mengimpikan computer riba ialah bila dia dapat memilikinya. Dalam situasi kita berjaya memperolehi apa yang kita impikan, pastinya kita akan rasa cukup gembira dan bahagia.

Apa saja hajat yang kita impikan dan tercapai, itu semuanya adalah kejayaan dan tahniah untuk itu semua. Namun, tanpa menafikan daya usaha sendiri dalam mengecapi kejayaan, sebenarnya banyak perkara di sebalik setiap kejayaan yang kita perolehi. Rasanya ia amat berkait rapat dengan nikmat Allah dan peranan individu-individu tertentu dalam hidup kita.Umum mengetahui bahawa manusia adalah ciptaan Allah. Ini termasuklah apa sahaja yang ada pada tubuh manusia. Manusia yang dikatakan berjaya itu wujud secara fizikalnya kerana Allah. Tiada kejayaan disebut bagi manusia yang belum pernah lahir ke dunia. Ini bermakna, kejayaan itu sebenarnya datang daripada Pencipta.

Adakah ibu dan ayah punya peranan dalam setiap kejayaan yang kita kecapi ? semoga kita sekata mengatakan ‘ya’. Pada usia kini, kebanyakan perkara kita boleh lakukan sendiri termasuk mencapai kejayaan. Tapi kalau kita renungkan pada usia bayi, kita hanya tahu menggeliat dan menangis di samping kemahiran semulajadi yang Allah berikan. Pada usia ini hampir segala-galanya ibu dan ayah yang lakukan untuk kita. Ini termasuklah soal makan minum, pakaian dan keselamatan serta kasih sayang. Di bawah paras kematangan akal, ibu dan ayah membantu kita untuk memilih baik buruk suatu perkara untuk kita. Dengan lorong kehidupan yang di rintis oleh ibu dan ayah, kita berada seperti pada hari ini. Ini bermakna, apa saja kejayaan yang kita kecapi, benih awalnya adalah datang dari daya usaha ibu dan ayah. Belum lagi cerita susah payah mereka membesarkan kita. Kesanggupan ibu melahirkan kita pada usia sembilan bulan sudah merupakan satu pengorbanan yang terlalu besar. “Buat ibu dan ayah, setiap inci kejayaan yang ku perolehi, akan ku persembahkan sebagai hadiah yang berharga dariku sebagai anak”.

Selain berfungsi sebagai anak, mungkin ramai dikalangan kita yang bergelar abang, kakak atau adik. Dengan gelaran ini, bermakna kita punya peranan dan tanggungjawab kepada abang, kakak dan adik serta langsung terhadap ibubapa. Oleh itu, jumlah masa yang digunakan untuk mengejar impian makin kecil dan sedikit menggugat perancangan. Namun atas toleransi adik-beradik, beberapa fungsi dan tanggungjawab yang sepatutnya kita laksanakan diberi pengecualian. Malah kerja-kerja peribadi kita turut dibantu. Mereka faham akan hasrat yang kita impikan dan lebih jauh daripada itu, mereka turut bangga dengan setiap kejayaan yang kita perolehi. Dengan abang, kakak dan adik membantu, faham dan bangga terhadap kejayaan kita, bermakna mereka punyai saham dalam kejayaan yang kita kecapi. Demikian juga buat isteri/suami dan anak-anak, mereka punya peranan yang tidak kurang pentingnya dalam setiap kejayaan yang kita kecapi.

Bagi mereka yang pernah melalui alam persekolahan hingga ke menara gading, pasti terkenang akan jasa guru-guru dan para pensyarah yang pernah mendidik kita. Kalau pun kita tidak berjaya dalam bidang akademik, sekurang-kurangnya mereka telah membantu kita dari segi berfikir. Bagaimana dengan peranan rakan-rakan ? Rasanya mereka juga punyai peranan dalam membantu setiap kejayaan yang kita kecapi. Sekurang-kurangnya mungkin hanya berbentuk sokongan moral atau sebagainya. Soal besar kecilnya peranan mereka terserah pada kita menilainya. Namun pasti tetap ada termasuklah rakan yang meremehkan usaha kita juga, sebenarnya menyumbang kepada kejayaan yang kita kecapi. Akhirnya, siapa sahaja yang ada di sekeliling kita, mereka turut menyumbang kepada kejayaan kita, sama ada langsung atau tidak.

Syukur kepada Allah atas segala nikmatNya. Terima kasih kepada ibu dan ayah, abang, kakak, adik, isteri/suami, anak-anak, para guru dan pensyarah, rakan-rakan dan sesiapa sahaja yang turut membantu setiap kejayaan yang dikecapi. Semoga mendapat balasan yang melimpah ruah atas sokongan dan bantuan yang diberikan sama ada langsung atau tidak.

No comments: