Saturday 3 January 2009

NILAI DAN KEHIDUPAN 1 : SEGALANYA KETENTUAN ILAHI

Ungkapan yang berbunyi “Allah menentukan segala-galanya” merupakan satu kenyataan yang amat jelas tentang kekuasaan Allah di muka bumi ini . Tiada satu pun kejadian yang berlaku terkecuali dari ketentuan Allah. Sebagai manusia, hakikat ini tidak harus di terima sebagai pengetahuan sahaja, sebaliknya harus menjadi dasar dalam kehidupan. Ini bermakna, orientasi pemikiran dan tindakan harian manusia harus merasakan kekuasaan Allah ada di mana-mana dan mengatasi segala-galanya.

Dalam penerimaan hakikat ini secara mutlak, harus disedari bahawa kebanyakan suatu yang berlaku itu adalah menjadi rahsia Allah. Perkara ini termasuklah soal rezeki, jodoh, ajal maut dan sebagainya. Bagaimana pun, peringatan, panduan dan tanda-tanda awal telah di berikan terlebih dahulu kepada manusia.

Keyakinan terhadap ketentuan Allah bukan bermakna tidak perlu berusaha kerana semuanya telah ditentukan. Ini agak bercanggah dengan konsep kerahsiaan sesuatu kejadian atau suatu perkara. Pastinya antara hikmah kerahsiaan itu ialah supaya manusia berusaha bersungguh-sungguh dalam setiap pekerjaannya.Keakuran/penerimaan terhadap ketentuan Allah pula secara tidak langsung mendidik manusia untuk berhati-hati dalam setiap tindak-tanduknya atau pekerjaan hariannya agar sentiasa selari dengan kehendak dan perintah Allah.

Memahami dan menerima dua konsep ini akhirnya akan menerbitkan/mendatangkan banyak nilai-nilai positif dalam diri manusia. Pastinya seseorang itu tidak terlalu berdukacita atau berputus asa apabila bertembung dengan kegagalan. Sebaliknya ia tidak merasa angkuh dan sombong apabila mengecapi kejayaan.

No comments: